Jualan Rahmah bantu golongan kurang mampu

Muhafandi Muhamad
Jun 14, 2023 09:15 MYT
Antara pengunjung di Program Jualan Rahmah yang diadakan di DUN Galas, Parlimen Gua Musang. - Astro AWANI
GUA MUSANG: Program Jualan Rahmah yang dilaksanakan kerajaan membantu mengurangkan bebanan masyarakat luar bandar yang ketika ini terbeban dengan kos sara hidup.
Menurut penduduk, inisiatif Jualan Rahmah yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membantu pengguna dari kelompok B40 dan miskin tegar berjimat hingga RM100 sebulan.
Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan dengan harga lebih murah daripada harga biasa untuk keperluan keluarga.
"Banyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Madani adakan program amat memberi manfaat kepada kami sebagai pengguna.
"Kita boleh jimat dengan pendapatan barang yang berpatutan dan amat murah," kata penduduk Marini Nasir.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, sebanyak 27 item barangan disediakan termasuklah barangan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran.
"Insyallah kita akan adakan pula di DUN Galas pada bulan hadapan di mana lokasi ini sentiasa dipilih kerana mendapat sambutan.
"Saya mengharapkan program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang memandangkan program ini mendapat sambutan yang baik daripada pihak pengguna dan mereka boleh dapatkan keperluan asas seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga berpatutan," katanya.
Program Jualan Rahman di DUN Galas, Parlimen Gua Musang berlangsung selama dua hari bermula pada Selasa dan Rabu.
#Jualan Rahmah #Mohd Syahbuddin Hashim #barangan keperluan asas #kpdn
;