Jualan pukat ikan laris pada musim tengkujuh di Kelantan

Bernama
Disember 25, 2023 13:45 MYT
Tinjauan sekitar kawasan di Kuala Krai dan Kota Bharu juga mendapati ramai penduduk memasang pukat ikan di kawasan berhampiran rumah seperti di sawah padi dan sungai. - Foto Bernama
KUALA KRAI: Memukat ikan ketika musim tengkujuh antara aktiviti yang dinantikan penggemarnya sebagai sumber rezeki untuk mendapatkan ikan darat seperti haruan, puyu dan sepat di kawasan sungai serta paya.
Penjual pukat ikan di Kuala Krai, Marliana Mat Zin, 46, berkata beliau tidak menang tangan melayan permintaan pelanggannya untuk membeli pukat ikan sehingga menyebabkan beberapa jenis pukat tersebut telah habis dijual.
"Apabila musim tengkujuh, ramai yang datang untuk beli pukat ikan sebab kawasan seperti di sungai dan paya akan berlaku peningkatan aras air sekali gus beri peluang kepada penduduk untuk memukat ikan.
"Alhamdulillah, jualan pukat ikan sangat laris kerana harga yang saya jual antara RM12 hingga RM45 mengikut jenis saiz dan panjang," katanya ketika ditemui Bernama dekat kedainya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Marliana berkata apabila berlaku banjir, stok bekalan pukat ikan juga sukar diperoleh kerana terdapat beberapa laluan yang ditenggelami air.
"Selalunya tiga atau empat bulan sebelum musim tengkujuh, saya akan buat tempahan dengan pengeluar untuk pastikan bekalan pukat ikan mencukupi kerana saya tahu permintaan sangat tinggi pada musim tersebut," katanya.
Pekerja di sebuah kedai pukat dekat Kota Bharu, Ahmad Akhyar Salahudin, 24, pula berkata permintaan jualan pukat ini juga bergantung pada musim yang berlaku ketika itu seperti pukat ikan akan laris pada musim tengkujuh, manakala pukat udang atau ketam pula pada bulan Ogos dan September.
"Pukat ini juga ada pelbagai jenis dan ia mengikut selera pelanggan sebab ada yang tengok pada jenis batu sama ada mahu saiz kecil atau besar, selain melihat panjang pukat itu," katanya yang menambah harga yang dijual di kedainya sekitar RM25 hingga RM180.
Tinjauan Bernama sekitar kawasan di Kuala Krai dan Kota Bharu juga mendapati ramai penduduk memasang pukat ikan di kawasan berhampiran rumahnya seperti di sawah padi dan sungai.
-- BERNAMA
#musim tengkujuh #banjir #Kuala Krai #pukat #menjala ikan
;