Jualan Perodua Ativa terus meningkat sejak dilancarkan

Astro Awani
Mei 4, 2021 17:44 MYT
Jumlah jualan Perodua Ativa itu juga telah melonjakkan jumlah pendaftaran kenderaan tersebut sejak pelancarannya pada 3 Mac lalu kepada hampir 9,000 unit. - Gambar ihsan Perodua
KUALA LUMPUR: Sebanyak 20,399 kenderaan Perodua terjual pada April dengan 4,624 unit merupakan Perodua Ativa yang mewakili 22 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, jumlah jualan Perodua Ativa itu juga telah melonjakkan jumlah pendaftaran kenderaan tersebut sejak pelancarannya pada 3 Mac lalu kepada hampir 9,000 unit.
Zainal Abidin juga menjelaskan permintaan bagi Perodua Ativa kekal tinggi dengan hampir 290 tempahan sehari secara purata.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan.
“Tempoh menunggu Ativa kini dari dua hingga empat bulan, bergantung kepada warna dan varian yang diingini.
UNTUK PANDU UJI PROTON ATIVA, KLIK PAUTAN INI
"Kami menasihatkan para pelanggan kami yang dihargai untuk bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai tempoh menunggu bagi pelbagai kombinasi varian-warna Ativa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, jualan 20,399 kenderaan Perodua pada April mencatatkan penurunan sebanyak 16.5 peratus daripada 24,431 unit pada Mac berikutan isu kekurangan cip semikonduktor yang memberi kesan negatif kepada pelbagai industri secara global.
“Walaupun isu kekurangan cip semikonduktor masih berlangsung secara global, Perodua berjaya menghasilkan 20,278 kenderaan pada April 2021, menjadikan jumlah pengeluaran kami setakat tahun ini sebanyak 80,661 unit," katanya lagi.
Syed Zainal menjelaskan jualan April 2021 melonjakkan jumlah jualan Perodua setakat tahun ini kepada 78,304 kenderaan.
Katanya, ia mewakili peningkatan 74 peratus berbanding jualan 45,034 unit dalam empat bulan pertama 2020 berikutan pendaftaran minimum pada April 2020 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.
“Isu kekurangan cip merupakan keutamaan kami buat masa ini. Kami sedang mengkaji kesemua sumber yang ada untuk menanganinya, termasuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dan rakan-rakan niaga kami untuk mencari penyelesaian.
“Perodua tetap komited terhadap penghantaran tepat pada masanya, dibantu oleh skala ekonomi kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas kesabaran mereka.
“Kami akan bertungkus lumus untuk menyerahkan sebanyak kenderaan yang mungkin sebelum tamatnya pengecualian cukai jualan kerajaan pada akhir-Jun ini,” tambah beliau.
Zainal Abidin berkata Perodua akan mengekalkan sasaran jualan 2021 pada 240,000 unit buat masa ini. Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan 9% daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.
Perodua juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (lebih 23 peratus daripada 220,968 unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis (lebih 20 peratus daripada 2 juta pengambilan servis pada 2020) bagi tahun ini.
#Perodua #Ativa #Zainal Abidin Ahmad #jualan #meningkat
;