Jualan perdagangan borong dan runcit naik 13.9 peratus kepada RM133.9 bilion pada Nov 2022

Bernama
Januari 12, 2023 08:40 MYT
Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia tumbuh 13.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM133.9 bilion pada November 2022. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia tumbuh 13.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM133.9 bilion pada November 2022, terutamanya dirangsang oleh pertumbuhan dalam subsektor perdagangan runcit, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi perbandingan bulan ke bulan (m-o-m), nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 0.2 peratus, disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan runcit yang meningkatmasing-masing sebanyak 1.7 peratus dan 0.7 peratus.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata subsektor perdagangan runcit meningkat 22.8 peratus tahun ke tahun kepada RM58.7 bilion.
Perdagangan borong dan kenderaan bermotor juga masing-masing meningkat 5.6 peratus kepada RM59.5 bilion dan 17.2 peratus kepada RM15.7 bilion.
"Pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 22.8 peratus pada November 2022 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 23.9 peratus atau RM4.2 bilion kepada RM22.0 bilion.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 0.7 peratus, disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan, jualan runcit di kedai khusus dan jualan runcit bahan api automotif dengan masing-masing 1.6 peratus, 0.4 peratus, dan 1.4 peratus.
Bagi subsektor perdagangan borong, peningkatan sebanyak 5.6 peratus disumbangkan terutamanya oleh jualan borong barangan isi rumah yang meningkat 14.4 peratus kepada RM12.5 bilion.
Bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan subsektor ini menurun -0.6 peratus disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang menguncup -2.8 peratus.
Ini diikuti oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 9.8 peratus atau RM0.7 bilion kepada RM8.4 bilion.
Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini meningkat 1.7 peratus, didorong oleh jualankenderaan bermotor yang berkembang 1.6 peratus.
"Indeks jualan runcit melalui internet untuk November 2022 merekodkan pertumbuhan 9.3 peratus tahun ke tahun (Oktober 2022: 17.3 peratus).
"Bagi pelarasan musim, indeks menguncup -6.0 peratus berbanding bulan sebelumnya," katanya.
Bagi indeks volum pelarasan musim, ia meningkat 1.1 peratus dari bulan ke bulan.
-- BERNAMA
#Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin #Jualan perdagangan borong dan runcit #DoSM
;