Jualan murah berkala akan diteruskan - Salahuddin Ayub

Israr Khalid
Disember 6, 2022 05:00 MYT
SALAHUDDIN: Ia antara langkah mudah yang dapat dilaksanakan segera sebagai permulaan untuk rancangan yang lebih menyeluruh dan mampan di masa hadapan. - Foto Sinar Harian
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan meneruskan skim jualan murah berkala yang sudah dilaksanakan sebelum ini.
Kata menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub, kementerian mempunyai subsidi khusus untuk melaksanakan rancangan sedemikian bagi meringankan beban perbelanjaan rakyat dalam jangka masa pendek.
Beliau, katanya, masih belum sempat menghadam sehabisnya butiran mengenainya memandangkan baru beberapa hari dilantik di kerusi itu, namun dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian bahawa wujud peruntukan untuk membolehkan skim itu terus dilaksanakan.
“Katakan harga ayam, biasanya RM9.90, tetapi pada hari-hari tertentu pengguna boleh beli dalam RM8 contohnya, rakyat dah cukup suka.
“Begitu juga telur misalnya, kalau sepapan boleh diturunkan sedikit harganya dan bekalan ada, rakyat sudah cukup suka.
“Jadi, jualan-jualan di peringkat bawah itu kita jalan terus,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Maklum Salahuddin, ia antara langkah-langkah mudah yang dapat dilaksanakan dengan segera sebagai permulaan untuk rancangan yang lebih menyeluruh dan mampan di masa hadapan.
Jualan murah berkala akan diteruskan - Salahuddin Ayub
#Agenda Awani #jualan murah #Salahuddin Ayub #PM10
;