Jualan Madani Syawal di 113 outlet mulai hari ini, harga 30 peratus lebih rendah
Hasimi Muhamad
April 15, 2023 12:08 MYT
April 15, 2023 12:08 MYT
PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka Jualan Syawal Madani di 113 outlet pemasaran FAMA seluruh negara bermula hari ini.
Bakal diadakan sehingga menjelang 1 Syawal, ia antara lain meliputi Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) serta Medan Niaga Satok (MNS).
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, 113 outlet tersebut dijangka menawarkan harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, termasuk bagi ayam segar.
“Memang saya lihat (harga di sini) jauh lebih murah daripada pasar di luar sana.
"Bukan tujuan kita untuk bersaing dengan para peniaga di pasar, tetapi untuk memberi kemudahan, khasnya kepada golongan B40, M40 serta miskin, untuk membeli barang dengan lebih murah.
"Sebahagiannya, seperti ayam, (dijual pada harga) RM10 seekor dengan beratnya lebih dua kilogram (kg) dan ia disubsidi oleh Kerajaan Negeri Selangor.
"Begitu juga daging, dengan harganya RM35 (sekilo). Kalau di luar sana, (harganya antara) RM40 dan RM44. Jadi, kita harap golongan bawahan ini, yang tak mampu pergi ke pasar raya besar, sila datang esok pula ke Alam Megah, Kota Raja.
"Kemudian, ia akan diteruskan dari masa ke masa, supaya semua penduduk dapat menyambut Hari Raya dengan harga yang mereka mampu," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Jualan Syawal Madani Peringkat Kebangsaan di Tapak Pasar Tani Seksyen 6, Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, menerusi 113 outlet tersebut, FAMA menyasarkan nilai jualan sebanyak RM13 juta sepanjang program Jualan Syawal Madani berlangsung.
Jelas beliau lagi, sasaran tersebut bukan bertujuan *mencipta keuntungan, tetapi paling penting ialah memberikan perkhidmatan kepada rakyat dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup.
Bermula hari ini sehingga 30 April depan, sebanyak 30 jenis barangan ditetapkan harganya menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023.