Jualan kereta Proton melonjak pada Jun
Bernama
Julai 2, 2020 12:13 MYT
Julai 2, 2020 12:13 MYT
Proton Holdings Bhd mendapat manfaat susulan peningkatan jualan kereta sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Jun apabila kereta jenama nasional itu diunjur menyumbang 66.4 peratus kepada pasaran pada bulan ini.
Pengumuman insentif oleh kerajaan baru-baru ini turut melonjakkan permintaan, sekali gus meningkatkan jualan keseluruhan industri (TIV) kereta jenama itu berbanding tahun lepas dengan sejumlah 9,623 unit dijual.
Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata, ini turut membantu syarikat berkenaan mencatat jualan kedua terbaik setakat tahun ini dengan tiga model keretanya menerajui jualan dalam segmen masing-masing.
"Angka itu turut mewakili pertumbuhan sebanyak 69.5 peratus berbanding Mei 2020 dan kenaikan sebanyak 26.3 peratus berbanding bulan sama pada 2019 sebelum berlakunya pandemik COVID-19.
"Bersandarkan angka bahagian pasaran setakat tahun ini sebanyak 21.2 peratus, prestasi Proton bagi separuh pertama 2020 menyaksikan peningkatan 6.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Jumlah perbezaan atau jurang keseluruhan 2019 turut menguncup kepada hanya 14.6 peratus yang merupakan satu pencapaian bermakna serta hampir tiga kali lebih baik daripada jenama saingan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, jualan kereta jenama tempatan itu bagi bulan perniagaan penuh sejak Februari lepas juga terbukti amat menggalakkan.
"Ketika kami terus optimis namun berhati-hati bagi tempoh separuh kedua tahun ini, permintaan terhadap kereta Malaysia secara amnya serta kereta Proton khususnya membuktikan peningkatan keyakinan pengguna terhadap produk-produk kami.
"Minat itu telah dipacu oleh pengumuman membabitkan cukai jualan baru-baru yang bagi kami telah melonjakkan permintaan," katanya. - BERNAMA