Jualan Keluarga Malaysia: Rakyat diseru ambil peluang barangan harga diskaun
Fareez Azman
Januari 16, 2022 12:39 MYT
Januari 16, 2022 12:39 MYT
AMPANG: Rakyat diseru mengambil peluang mendapatkan barangan asas pada harga promosi menerusi Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang bermula Disember lalu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, selain meringankan beban rakyat, program tersebut juga membantu mempromosikan produk minyak sawit kepada pengguna.
"Kempen ini menawarkan 30 peratus diskaun bagi barangan seperti air minuman, baju sekolah, makanan, beras, minyak dan banyak lagi barangan asas yang diperlukan.
"Alhamdulilah dengan Jualan Keluarga Malaysia memang mengurangkan beban rakyat, terutama yang menyambut Tahun Baru Cina dan Thaipusam.
"Memang rakyat Malaysia menunggu program sebegini, bukan hanya di pasar raya ini, tetapi di seluruh negara, yang mengambil bahagian," katanya.
Zuraida berkata demikian kepada media ketika mengadakan tinjauan sempena PJKM di Aeon Big Ampang hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menggesa lebih ramai pengusaha pasar raya mengambil bahagian dalam program tersebut bagi sama-sama membantu masyarakat.
"Rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah boleh menikmati harga jualan yang diberi diskaun yang lumayan di sini, hampir 30 peratus, bagi setiap barangan yang mengambil bahagian," tambahnya.
PJKM bermula pada 4 Dis lalu di 222 kawasan Parlimen dan dijangka berjalan sehingga Februari depan.
Ia dilaksanakan dua kali sebulan dengan fokus utama menawarkan barangan asas dengan potongan harga 20 hingga 50 peratus, menyasarkan golongan B40 dan M40.