Jualan Keluarga Malaysia Parlimen Kepala Batas dapat sambutan luar biasa
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 5, 2021 14:34 MYT
Disember 5, 2021 14:34 MYT
KEPALA BATAS: Di Pulau Pinang, sekitar 3,000 penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas lebih murah sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) hari ini.
Program yang diadakan di pekarangan Wisma UMNO Kepala Batas itu menawarkan penjualan barangan asas termasuk ayam serendah RM5, daging segar RM30 sekilogram, telur ayam, sayur-sayuran dan barangan keperluan harian.
Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, menerusi program sebegini rakyat dapat menikmati penjimatan di antara 25 hingga 30 peratus sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup yang kian meningkat.
Menurut beliau, program yang dianjurkan itu memberi manfaat yang besar kepada orang ramai kerana harga yang ditawarkan sangat murah.
“(Pengguna) boleh jimat banyak… kalau beli beras boleh jimat RM2, kalau beli ayam jimat sekitar RM5, kalau beli daging boleh jimat hingga RM8 (dan) kalau beli telur jimat sehingga RM4," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia di tapak jualan di sini, pada Ahad.
Antara bahan mentah yang dijual dengan harga yang murah menerusi jualan tersebut termasuklah ayam RM5 untuk seekor, telur ayam Gred C sepapan berharga RM8, beras untuk lima kilogram bernilai RM10 serta daging lembu tempatan dijual pada harga RM30 sekilogram.
Program bermula pukul 8 pagi itu berlangsung selama empat jam.
Dalam pada itu, Reezal turut memberi jaminan akan terus melaksanakan inisiatif tersebut pada setiap minggu sehingga harga barangan keperluan harian berkenaan kembali terkawal seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
“Saya akan cuba usahakan (program jualan mingguan), kalau ok (dapat sambutan) saya akan buat tiap-tiap minggu sehingga keadaan (harga) lebih stabil dan mungkin ada pendekatan lain sehingga saya benar-benar yakin… program bantu rakyat akan diteruskan setiap minggu,” kata Reezal.
Dalam masa sama, Reezal turut memberi jaminan pihaknya akan terus bekerjasama dari segi bekalan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga beberapa pasar raya yang mempunyai hala tuju yang sama iaitu membantu rakyat.
Pada 2 Disember lalu, Perdana Menteri berkata, jualan itu yang bermula Sabtu lepas akan dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen menawarkan harga barang keperluan harian 20 hingga 50 peratus lebih murah berbanding tempat lain.
Program Jualan Keluarga Malaysia tersebut dilaksanakan oleh KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kewangan.
#Program Jualan Keluarga Malaysia
#Keluarga Malaysia
#Parlimen Kepala Batas
#Reezal Merican Naina Merican