Jualan barangan dari kilang di Putrajaya bermula Jumaat ini.
Bernama
Julai 24, 2013 10:33 MYT
Julai 24, 2013 10:33 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menganjurkan jualan barangan terus dari kilang 'Jom Beli Barang Raya @ Putrajaya' di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya bermula Jumaat ini.
Menterinya, Datuk Hassan Malek berkata, program 10 hari sempena Festival Ramadan Putrajaya 2013 itu disertai oleh 48 syarikat dengan 200 buah gerai jualan.
"Pelbagai barangan keperluan hari raya dan barangan berjenama akan dijual pada harga yang istimewa pada program itu," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri Johol, dekat sini malam tadi.
Katanya program jualan terus itu dimulakan pada 2009 dengan matlamat mengurangkan beban rakyat ketika menyediakan persiapan menyambut perayaan.
Program akan diadakan di setiap negeri kecuali di Selangor dan Kuala Lumpur, katanya.
"Daripada pengalaman sebelum ini, program berkenaan mendapat sambutan daripada pengguna dan juga peniaga. Insya-Allah, saya akan melancarkan program ini pada 29 Julai," katanya.
Pada majlis malam tadi, beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 185 penerima meliputi anak yatim, warga emas dan orang miskin. Hasan yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah turut menyampaikan cek bernilai RM10,000 sumbangan Perbadanan Harta Intelek Malaysia kepada Rumah Kasih Kampung Ulu Inas.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Johol Abu Samah Mahat dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan & Pengurusan) kementerian Datuk Basaruddin Sadali.