Jualan amal bundle Korea raih RM50,000 bantu bawa pulang jenazah ke Tawau

Bernama
Mac 2, 2021 09:58 MYT
Kumpulan peniaga bundle di Korea Selatan itu mengumpulkan barang jualan dan koleksi peribadi untuk dijual kepada orang ramai menerusi jualan amal berkenaan. - Facebook Jessie Ooi
TAWAU: Ikhtiar 12 peniaga bundle rakyat Malaysia, mengadakan jualan amal bagi mengumpul dana membantu penghantaran pulang jenazah rakan mereka di Gwangju, Korea Selatan ke Tawau, Sabah berhasil mengutip RM50,000.
Dana itu bagi proses pengurusan jenazah Muhammad Khairul Anas Abdu Gapal, 31, berasal dari Kampung Titingan di sini yang meninggal dunia akibat sakit di Gwangju pada Jumaat lepas (26 Feb).
Jualan amal itu yang diusahakan oleh peniaga bundle rakyat Malaysia di Korea Selatan, bersiaran menerusi Facebook Live 'Saudagar jpkr' tengah malam semalam (1 Mac) selama 1 jam 40 minit dan mendapat tontonan lebih 8,000 pengguna Facebook.
Terselit 1,001 kesedihan di setiap wajah peniaga bundle berkenaan dengan kehilangan rakan mereka yang berkelana ke Korea Selatan sejak dua tahun lalu sebagai pekerja kontrak.
Seorang pembeli jualan amal berkenaan yang juga merupakan peniaga bundle popular di Tawau, Andika Nazri, 27, ketika dihubungi Bernama berkata beliau menghabiskan RM3,000 membeli beberapa helai baju sebagai tanda sokongan untuk aktiviti amal berkenaan.
"Saya turut berasa sedih, saya pun ada pengalaman berniaga bundle di Korea Selatan dan tahu membawa pulang jenazah dari sana ke Tawau ini memerlukan kos sangat tinggi," katanya yang mengusahakan Pali Pali Bundle di sini.
Menerusi jualan secara langsung di Facebook 'Saudagar jpkr', kumpulan penjual bundle terlibat termasuk Acai Bundle - Korea, Nuahh bundle, Bundle bundle Safril Kuns, Selipar ManonAjushi, Gwangju Bundle, GTO Bundle, Bundle Borneo 21 dan Gwangju Family R'B Store.
Kumpulan penjual itu mengumpulkan barang jualan dan koleksi peribadi untuk dijual kepada orang ramai menerusi jualan amal berkenaan di samping item termahal yang dijual, sebuah beg galas MCM berwarna merah bernilai RM5,000.
Sementara itu, abang kepada arwah, Hazlan Abdu Gapal, 35, menzahirkan rasa syukur dengan bantuan semua termasuk penjual serta pembeli barangan amal bundle itu, bagi memudahkan urusan penghantaran jenazah adiknya.
"Seorang peniaga bundle ini ada menghubungi saya bagi meminta izin untuk membuat jualan amal bagi mengumpul dana disasarkan sebanyak RM40,000 dan saya bersetuju dengan niat baik mereka kerana kos pengurusan jenazah sehingga ke Tawau boleh mencecah RM70,000.
"Saya cukup terharu dengan niat baik mereka, mereka ini hanya dikenali di Facebook sahaja, tiada ikatan keluarga langsung, hanya Allah dapat membalas jasa baik mereka, saya harap perjuangan baik mereka menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia lain untuk melakukan kebaikan," katanya lagi.
Hazlan berkata adiknya merupakan anak kelima daripada sembilan beradik dan seorang yang suka berahsia, hidup berdikari dan tidak suka menyusahkan keluarga.
"Kami sekeluarga pun belum tahu punca adik sakit cuma pada tiga minggu lalu adik beritahu ada muntah-muntah itu sahaja," katanya.
Menurutnya, adiknya itu mengambil keputusan bekerja di Korea kerana mahu mengumpul modal bagi membuka bengkel kereta di Tawau untuk keluarga.
-- BERNAMA
#Facebook #Korea Selatan #Tawau #meninggal dunia #peniaga #peniaga bundle #jenazah #rakyat Malaysia #amal #Saudagar jpkr #jualan amal #pekerja kontrak
;