Jualan Agro Madani: Usaha bantu usahawan dan pengguna
Astro Awani
Januari 6, 2024 18:25 MYT
Januari 6, 2024 18:25 MYT
KUALA LUMPUR : Bagi membantu mengurangkan kos hidup rakyat, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menganjurkan program Jualan Agro Madani Mega.
Menurut Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup, program Jualan Agro Madani Mega juga dapat membantu usahawan tani memasarkan produk mereka terus kepada pengguna.
Arthur menjelaskan, menerusi program itu, pengguna memperoleh penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi komoditi terpilih.
"Ia juga merupakan satu kebaikan untuk pengguna kerana kita dapat membekalkan atau membawa produk agro makanan yang segar terus daripada pengeluar pada harga lebih berpatutan.
“Dari segi penjimatannya pula adalah antara 10 hingga 30 peratus.
“Ia lebih murah berbanding tempat lain, jadi ini adalah win-win situation, win untuk pengeluar dan win untuk usahawan dan win untuk pengguna,” katanya selepas melancarkan Jualan Agro Madani Mega anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sebuah pasar raya, pada Sabtu.
Arthur memaklumkan sehingga 31 Disember tahun alu, KPKM telah berjaya menganjurkan sebanyak 5,608 Jualan Agro Madani.
"Kita telah mencatatkan 5,608 jualan pada tahun lalu, dengan hasil jualan melebihi RM93 juta.
“Kesemua ini merupakan penjimatan kepada pengguna lebih RM27 juta dan kita telah membantu hampir 12 juta isi rumah di seluruh negara," katanya lagi.
Jelas beliau, seramai 74,800 usahawan yang telah menyertai Program Jualan Agro MADANI dengan jumlah 2.90 juta pengunjung yang memberi manfaat kepada 11.6 juta isi rumah.
Arthur menjelaskan, hasil kejayaan program ini pada tahun lalu, pihaknya berhasrat untuk terus mencapai sasaran 10,000 sesi Jualan Agro Madani di seluruh negara.
Beliau juga memaklumkan, program Agro Madani Mega merupakan kerjasama KPKM dengan agensi-agensi di bawahnya.