Jualan Agro MADANI: Sesi dan nilai jualan lepasi sasaran ditetapkan - KPKM

Bernama
Disember 27, 2023 20:04 MYT
Kerajaan telah mengadakan 5,573 sesi Jualan Agro MADANI di seluruh negara yang membabitkan nilai jualan RM92.76 juta setakat 24 Dis, sekali gus melebihi sasaran ditetapkan tahun ini. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan telah mengadakan 5,573 sesi Jualan Agro MADANI di seluruh negara yang membabitkan nilai jualan RM92.76 juta setakat 24 Dis, sekali gus melebihi sasaran ditetapkan tahun ini.
Berdasarkan infografik status pencapaian Jualan Agro MADANI bertarikh 24 Dis yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), jumlah itu termasuk 1,097 sesi jualan di kawasan perumahan berkepadatan tinggi dan 546 sesi jualan di kompleks kerajaan.
"Jualan Agro MADANI telah disertai 74,639 usahawan dan 2.88 juta pengunjung, dengan nilai penjimatan kira-kira RM27.5 juta. Ia turut memanfaatkan 11.5 juta isi rumah," menurutnya.
Inisiatif dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada 16 April lepas itu menyasarkan 5,000 sesi jualan dengan RM39 juta nilai jualan tahun ini.
Program Jualan Agro MADANI adalah penjenamaan semula Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama strategik agensi di bawah KPKM iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Inisiatif itu bertujuan membantu rakyat di seluruh negara mendapatkan bekalan produk segar dengan mudah, pada harga berpatutan dan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus berbanding harga pasaran tempatan.
Antara barangan keperluan harian yang menjadi tarikan istimewa pada Jualan Agro MADANI adalah seperti barangan pertanian segar terpilih seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, telur, ikan, gula, minyak dan lain-lain selain promosi Kombo MADANI.
-- BERNAMA
#Jualan Agro Madani #KPKM #Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #Nilai jualan
;