Jualan Agro Madani: ‘Pembeli dapat jimat, peniaga raih pendapatan berganda’
Shuhada Abdul Kadir
Disember 19, 2023 05:15 MYT
Disember 19, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Penganjuran Jualan Agro Madani terutamanya di pekan kecil dan kawasan luar bandar jelas memberi impak positif kepada segenap lapisan masyarakat dalam meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi.
Bukan sahaja pengguna dapat membeli barangan keperluan harian dalam harga yang lebih murah dan berpatutan, malahan kumpulan peniaga terlibat juga mampu melonjakkan hasil pendapatan sehingga lebih dua kali ganda.
Bagi peniaga ayam segar, Mohd Amir Ismail, 47, yang pertama kali menyertai program Jualan Agro Madani berkata, pada kebiasaan dia hanya menjual sekitar 800 ekor ayam segar di beberapa pusat jualan di sekitar Negeri Sembilan.
Namun ujarnya, kuantiti jualannya bertambah 450 ekor pada program jualan berkenaan dan menyifatkan penganjuran itu sebagai situasi ‘menang-menang’ kepada peniaga dalam meningkatkan jualan selain pengguna dapat membeli dengan harga yang murah.
“Kebiasaannya kalau saya jual di pasaran biasa seekor ayam harganya sekitar RM16 hingga RM20 bergantung kepada saiz, tetapi pada program ini kita hanya jual RM13 seekor.
“Sebagai peniaga yang pertama kali diberi peluang berniaga pada Jualan Agro Madani ni saya rasa seronok apabila dapat bantu ringankan beban orang ramai beli ayam segar dengan harga lebih murah dan secara tidak langsung kuantiti jualan dan pendapatan saya juga bertambah,” katanya ketika ditemui pada program Jualan Agro Madani di Masjid Tuanku Besar di sini pada Selasa.
Sementara itu, bagi peniaga rendang maman yang merupakan makanan ikonik Negeri Sembilan, Halimah Bulat, 61, menerusi platform Jualan Agro Madani, dia dapat meningkatkan pendapatannya berlipat kali ganda.
“Saya berniaga rendang maman ini sejak 12 tahun lalu dan biasanya pendapatan saya hanya sekitar RM2,000, namun selepas aktif menyertai program dibawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ini pendapatan saya memang berlipat ganda lah.
“Program jualan ini bukan sahaja platform bagi pengguna berjimat, tetapi ini juga saya lihat sebagai satu ruang peniaga kecil seperti saya tambah ‘duit poket’ apabila sekurang-kurangnya 30 kilogram (kg) jualan rendang maman saya laris,” katanya.
Bagi pelanggan warga emas Hamidah Ibrahim, 73, mengakui sangat berpuas hati dengan harga barangan keperluan yang dijual pada harga lebih murah.
“Apabila kawan-kawan kariah masjid beritahu ada program ini dekat dengan kawasan kami, memang saya dah rancang nak berbelanja sebab kita tahu harganya murahkan.
“Cumanya saya harap jualan ini dapat diteruskan lah dan kerap diadakan di kawasan kami kerana banyak manfaatnya lebih-lebih lagi pada warga-warga emas yang tak banyak pendapatan,” katanya.
Kelegaan sama turut dikongsi seorang pekerja swasta, Lukman Hakim Abdullah, 32, yang menyifatkan tawaran harga murah pada program jualan Agro Madani dapat memberi kelegaan kepada setiap ketua keluarga.
“Kalau nak ikutkan sekarang ni kehidupan kos hidup makin tinggi, jadi bila adanya program macam sebegini sedikit sebanyak dapat bantu kurangkan bebanan.
“Dengan gaji yang tidak seberapa, kita nak berbelanja di pasaraya pun adakalanya rasa takut dan saya harap program ini diteruskan atau dapat diadakan sebulan dua kali lebih bagus,” ujar bapa satu anak itu.
Jualan Agro Madani yang diadakan lima jam di Masjid Tuanku Besar di sini, pada Selasa membabitkan 27 usahawan khususnya peniaga tempatan.
Program itu memberi manfaat sekurang-kurangnya kepada 1,000 isi rumah dengan penjualan pelbagai barangan keperluan pada harga sekurang-kurangnya 20 peratus lebih murah daripada pasaran.
Antaranya minyak peket yang dijual dengan harga RM2, daging segar RM36 berbanding RM40 harga biasa serta 1,000 kampit beras putih tempatan dengan harga RM26.