Jualan Agro Madani: Buka peluang perkenal produk jenama Peladang

Astro Awani
Januari 7, 2024 18:26 MYT
Mahfuz menjelaskan, menerusi Jualan Agro Madani, peladang juga dapat memperkenal dan mempromosikan produk mereka dengan lebih meluas. - Gambar fail/Sinar Harian
AMPANG: Program Jualan Agro Madani yang diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sejak setahun lalu telah membuka peluang memperkenalkan produk di bawah jenama Peladang.
Menurut Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar, menerusi program ini peladang dapat meningkatkan pendapatan mereka dengan memasarkan terus kepada pengguna.
Mahfuz menjelaskan, menerusi Jualan Agro Madani, peladang juga dapat memperkenal dan mempromosikan produk mereka dengan lebih meluas.
Beliau berkata, menerusi Jualan Agro Madani ini juga pengguna memperolehi manfaat dengan kuasa beli yang mereka ada untuk mendapatkan barangan pada harga yang lebih rendah.
"Pengguna harus bijak menggunakan kuasa mereka kerana mereka mempunyai hak untuk menentukan pilihan di mana barangan yang mereka nak dapat.
“Tidak ada manusia dalam dunia ini mahu mencari barangan yang harga mahal, mereka sudah tentu mahu cari yang lebih murah, yang lebih meringankan beban sara hidup.
“Mereka mesti guna kuasa pengguna, mereka kena tahu bahawa mereka mempunyai kuasa pengguna yang kuat yang sudah tentu peniaga-peniaga akan akur dan tunduk kepada kuasa pengguna," katanya selepas perasmian program Jualan Agro Madani Mega 2024 pada Sabtu.
Dengan menggunakan kuasa yang ada, Mahfuz menasihatkan pengguna agar tidak boros dan tidak membazir dalam mendapatkan barangan keperluan mereka.
"Kita kerajaan semestinya mahu memastikan pengguna jangan boros dalam mendapatkan barangan jangan boros.
“Yang kedua jangan membazir, maknanya penggunaan itu berpadanan dengan keperluan hidup seharian kita.
“Jadi ketiga-tiga ini, jangan boros, jangan membazir, jimat ia akan memaju bukan saja pengguna tetapi ekonomi dalam negara kita," katanya lagi.
Mahfuz memaklumkan, LPP telah menggunakan platform Jualan Agro Madani ini untuk meluaskan bekalan beras kepada rakyat terutamanya di kawasan luar bandar dan meluaskan bekalan ayam bulat kepada rakyat.
Jelas beliau, LPP menyediakan platform pemadanan perniagaan kepada usahawan untuk mempromosi hasil keluaran masing-masing bagi mendapatkan peluang pasaran yang baharu.
Menerusi program Jualan Agro Madani, Mahfuz memberitahu LPP telah menjemput beberapa pemain industri untuk hadir dan melihat aktiviti pemasaran hasil-hasil pengeluaran yang dilaksanakan oleh Peladang Outlet.
Menurut Mahfuz usaha tersebut bertujuan untuk menarik perhatian, minat dan meningkatkan keyakinan bagi mewujudkan ikatan kontrak pemasaran dengan Pertubuhan Peladang terpilih melalui program pemadanan perniagaan.
Jualan Agro Madani buka peluang perkenal produk jenama Peladang
#Mahfuz Omar #Lembaga Pertubuhan Peladang #LPP #peladang #Jualan Agro Madani #pengguna #usahawan #KPKM
;