Jual walkie-talkie tidak diperakui MCMC, sebuah syarikat dan pengarah didenda RM4,000
Bernama
Februari 24, 2022 16:22 MYT
Februari 24, 2022 16:22 MYT
KUALA LUMPUR: Akibat menjual walkie-talkie tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), sebuah syarikat menjual kelengkapan telekomunikasi dan pengarahnya masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Mahkamah memerintahkan Ooi Hee Choon dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, syarikat dan pengarah terbabit masing-masing didakwa menjual kelengkapan komunikasi iaitu dua unit walkie-talkie jenama Baofeng model UV-5RA dan tiga unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di Pusat Perdagangan Persiaran Jalil 3, Bukit Jalil di sini, pada 10.30 pagi, 2 Oktober 2019.
Syarikat terbabit dan pengarahnya didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, Ooi yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan memandangkan dia telah mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa mahkamah selain syarikatnya mengalami kerugian selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengawai Pendakwa MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin berkata, mengikut trend kes pada 2019 hingga 2020 yang membabitkan kesalahan dan peralatan sama, denda dikenakan ke atas pesalah antara RM1,000 hingga RM35,000.
"Sehubungan itu, saya mohon OKS dikenakan hukuman setimpal yang bersifat pengajaran agar dia tidak mengulangi kesalahan sama," katanya.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pemandu lori, Mohd Razman Ramli, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepada satu nombor telefon dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Hantaran itu didakwa dilihat di sebuah rumah di Ara Damansara, pada 2.49 petang, 20 April 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Hakim Norshila Kamaruddin menetapkan 10 Mac untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman. Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC Nur Nazhzilah Mohd Hashim manakala Mohd Razman selaku OKS tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA