Jual teh 'o' 50 sen, niat bersedekah anak sembuh leukimia

Bernama
Januari 31, 2024 13:35 MYT
Yusnira dan Rohaizad membuka Warung Teh 'O' 50 Sen di Jalan Pantai, Kampung Bagan Pinang, Port Dickson 10 tahun lalu. - Gambar/ Bernama
PORT DICKSON: Sepasang suami isteri menjual air teh "o" berharga hanya 50 sen secawan dengan niat bukan mahu meraih keuntungan semata-mata, tetapi sebagai cara membalas budi penderma yang membantu sehingga anak perempuan mereka sembuh daripada leukimia.
Yusnira Mukhtar, 42, dan suaminya Rohaizad Abdul Khalid, 44, berkata Warung Teh 'O' 50 Sen di Jalan Pantai, Kampung Bagan Pinang dekat sini yang dibuka sejak 10 tahun lepas dilihat kaedah terbaik dalam bersedekah kepada pelanggan dan rakan yang banyak membantu mereka sekeluarga ketika menghadapi kesulitan.
"Kami menjual air teh 'o' ais atau teh 'o' panas dengan harga 50 sen kerana mahu membalas balik kebaikan penderma yang menghulurkan pertolongan semasa anak kedua kami Puteri Iris Sofea didapati menghidap leukimia ketika berusia dua tahun.
"Kami tidak mampu nak mencari setiap individu yang telah membantu selama ini, saya dan suami sangat bersyukur dan amat berterima kasih, jadi saya fikir ini cara terbaik iaitu bersedekah dengan pelanggan kami," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Yusnira berkata walaupun dia dan suami terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anaknya itu, dia sekeluarga bersyukur anak perempuannya yang kini menginjak usia 14 tahun telah sihat sepenuhnya atas bantuan rakan-rakan sepejabat yang menderma hampir RM20,000.
Warung itu katanya, turut menjual pelbagai pilihan air termasuk coconut shake dan masakan Melayu seperti asam pedas dan salai mengikut harga pasaran dan berpatutan, malah warung itu juga sering dikunjungi pelanggan terutamanya pada hujung minggu.
"Dalam sehari purata lebih 20 pelanggan pesan teh 'o' panas atau teh 'o' ais, nama Warung Teh 'O' 50 sen ini juga antara faktor pelanggan ingin datang dan mencuba makanan kami, alhamdullilah perniagaan baik. Insya-Allah saya dan suami akan kekal menjual teh 'o' dengan harga 50 sen," katanya.
Yusnira berkata walaupun berdepan dengan kenaikan kos barangan, mereka tetap menjual teh "o" dengan harga sama dan mengekalkan niat mereka untuk bersedekah.
-- BERNAMA
#warung teh o 50 sen #Port Dickson #niat sedekah #anak sakit leukimia
;