'Jual tanah, rumah biaya kos guaman RM1.3 juta' - Keluarga penyanyi wanita ditahan di Thailand
Sinar Harian
Disember 21, 2024 13:00 MYT
Disember 21, 2024 13:00 MYT
KOTA BHARU: Keluarga kepada penyanyi wanita popular Kelantan yang kini ditahan reman di Penjara Narathiwat, Thailand memaklumkan pihaknya mungkin akan menjual tanah dan rumah untuk menanggung kos guaman yang dipercayai mencecah sehingga RM1.3 juta (10 juta baht).
Ringkasan AI
- Penyanyi wanita popular dari Kelantan ditahan bersama lima individu lain di sebuah hotel di Golok, Thailand, kerana disyaki memiliki 6,000 biji dadah jenis pil kuda.
- Keluarga penyanyi tersebut mungkin akan menjual tanah dan rumah untuk menanggung kos guaman yang dianggarkan mencecah RM1.3 juta (10 juta baht).
- Penyanyi dan lima individu lain kini ditahan reman selama 84 hari di Penjara Narathiwat, Thailand, untuk membantu siasatan.
Ahli keluarga terdekat berkata, mereka tidak mampu untuk membayar jumlah tersebut sebagaimana diminta oleh peguam di sana yang dikatakan ingin menawarkan khidmat guaman kepada penyanyi wanita terbabit.
"Kami bukan keluarga senang, jumlah itu terlalu tinggi. Cuma kalau perlu kami terpaksa menjual tanah, rumah sebab ini sahaja yang ada.
"Sekarang ini kami hanya mampu berdoa semoga kes ini dipermudahkan dan selesai dengan baik," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penyanyi wanita popular di negeri ini antara enam individu yang dipercayai ditahan Polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Golok.
Penahanan penyanyi berusia 20-an bersama lima lagi individu itu bagi membantu siasatan berkait rampasan 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda.
Enam suspek itu kini ditahan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan bagi membantu siasatan. -Sinar Harian