Jual syabu di gerai, dua wanita ditahan

Radhi Muslim
Februari 16, 2019 07:53 MYT
Barang-barang yang dirampas polis. - Astro AWANI
Polis Tawau berjaya menahan dua wanita Indonesia yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di Kawasan Pasar Batu Empat, Jalan Apas, yang berselindung di sebalik gerai pisang goreng dan cendol.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Sabtu, suspek berusia 30 dan 31 tahun itu bakal berdepan hukuman gantung selepas polis menemui dadah seberat 251.10 gram yang disembunyikan dalam sebuah bakul.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tawau dihantar ke gerai berkanopi itu sebaik menerima makluman berhubung aktiviti tersebut.
"Sebaik tiba, pasukan bertugas menahan dua wanita yang berada di gerai berkenaan.
"Sebuah bakul plastik berwarna biru mengandungi satu bekas polisterin kemudiannya diperiksa dan lima paket dadah berjaya ditemui.
"Sebelum itu, lima paket lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu itu turut dibungkus dengan dua lapis plastik iaitu hitam dan biru," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Fadil, ia dianggarkan seberat 251.1g dan bernilai RM22,500.
Tambahnya, suspek ditahan dan dadah dirampas lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.
#Dadah #Fadil Marsus #gerai #hukuman gantung #jenayah #polis #suspek #Tawau #wanita indonesia
;