Jual saham MAHB: Langkah tidak adil, bertentangan kepentingan negara - Hamzah

Afiezy Azaman
Disember 25, 2024 10:30 MYT
Hamzah berkata sebagai aset strategik dan “angsa emas” negara, MAHB mesti kekal di bawah pemilikan rakyat Malaysia. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan bantahan tegas terhadap cadangan penjualan saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada pihak luar.
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, beliau menekankan MAHB merupakan aset strategik negara yang penting dan perlu kekal sebagai syarikat awam tersenarai di Bursa Malaysia demi memastikan ketelusan dan tadbir urus yang baik.
"Keputusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memulakan prosiding bagi menyiasat urus niaga ini adalah langkah yang tepat.
“Prosiding ini membolehkan PAC mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak yang terlibat dalam keputusan penjualan saham MAHB,” katanya.
Hamzah berkata, Laporan Independent Advice Circular (IAC) bertarikh 20 Disember 2024 menyatakan bahawa kelima-lima Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MAHB tidak bersetuju dengan penjualan saham tersebut dan mengesyorkan para pemegang saham menolak tawaran pembelian itu.
Beliau menambah MAHB yang mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia telah mencatatkan prestasi luar biasa sehingga September 2024.
"Rekod menunjukkan jumlah penumpang yang diuruskan telah mencapai 101.2 juta, dengan pendapatan meningkat sebanyak 20.3 peratus kepada RM4.26 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023
"Keuntungan selepas cukai turut melonjak 137 peratus kepada RM606.3 juta.
“Penawaran yang dibuat tidak adil dan tidak mencerminkan potensi sebenar MAHB serta momentum pertumbuhan yang telah dicapai melalui strategi dan hala tuju syarikat,” tambah Hamzah.
Sehubungan itu, beliau turut menegaskan Ahli Parlimen Perikatan Nasional menolak keras penjualan saham MAHB.
Tegasnya, sebagai aset strategik dan “angsa emas” negara, MAHB mesti kekal di bawah pemilikan rakyat Malaysia untuk memastikan kepentingan negara terpelihara.
Hamzah turut menyeru semua pihak untuk mempertahankan status MAHB sebagai syarikat awam yang tersenarai, demi menjamin ketelusan, tadbir urus yang baik, dan manfaat kepada rakyat.
Pada Selasa, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan siasatan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan turut meliputi bantahan pihak berkepentingan terhadap cadangan kerajaan menjual saham MAHB.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Ini termasuklah dokumen yang didakwa diperoleh Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal.
Pada 12 Disember, Wan Ahmad Fayhsal berkata dokumen itu mengandungi pandangan pihak berkepentingan yang menentang penjualan saham MAHB dengan alasan tidak bersetuju dengan harga saham.
Isu mengenai penjualan saham MAHB merupakan antara yang akan disiasat PAC dalam prosiding yang dijangka bermula 3 Februari hingga 6 Mac tahun depan.
#MAHB #Hamzah Zainuddin #jual saham #Perikatan
;