Jual rokok kepada tahanan, Lans Koperal direman

Bernama
Mac 10, 2018 19:10 MYT
Anggota polis itu disyaki menerima rasuah RM400 sebagai balasan selepas membekalkan rokok kepada tahanan di lokap Balai Polis Daerah Tampin. - Gambar hiasan
Seorang Lans Koperal polis direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Seremban, Nurul Balqis Zunaidi di Mahkamah Khas Reman di sini berikutan permohonan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan Riduan Kadri.
SPRM dalam kenyataan di sini hari ini berkata lelaki berusia 36 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah pada 10 pagi dengan berpakaian lokap diiringi pegawai agensi itu.
Dia ditahan SPRM jam 2 petang semalam di Tampin Square, Tampin, kerana disyaki menerima rasuah RM400 sebagai balasan setelah membekalkan rokok kepada seorang tahanan di lokap Balai Polis Daerah Tampin antara 2 hingga 6 Mac lepas.
-- BERNAMA
#Balai Polis Daerah Tampin #lans koperal #lokap #Nurul Balqis Zunaidi #polis #Rasuah #reman #rokok #siasatan #SPRM #Tahanan
;