Jual petai 'online', pemandu pelancong kini menjadi pemanjat pokok petai

Muhafandi Muhamad
Jun 30, 2021 06:02 MYT
Petai yang dikutip itu dijual secara atas talian dengan menerima tempahan dan membuat pengiklanan melalui media sosial. - Astro AWANI
KUALA KRAI: Ramai terkesan dan terpaksa mengubah berubah modul perniagaan dan perkerjaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ada yang dahulu sebagai juruterbang beralih kepada tukang masak, daripada operator kilang beralih kepada penghantar makanan dan banyak lagi yang semuanya adalah untuk kelangsungan hidup.
Sektor pelancongan antara yang menyaksikan ramai pemain industri berkenaan hilang mata pencarian, daripada pengusaha hotel, pekerja hotel dan pemandu bas persiaran.
Tidak terkecuali seorang pemandu pelancong yang sering kali membawa pelancong baik dalam dan luar negara meneroka Gunung Stong, Gunung Ayam dan kompleks Gua Ikan di Dabong.
Kisah kejayaannya yang meraih pendapatan empat angka daripada aktiviti membawa pelancong meneroka khazanah alam dan keindahan gunung Stong dan Gua Ikan pernah tersiar dalam Astro AWANI sewaktu sektor pelancongan di buka seketika pada tahun lepas yang menyaksikan berlaku fenomena "Train to Dabong".
Namun pada tahun ini, Nik Ali Nik Muhamad terpaksa mengubah kerjayanya sementara sebagai pemandu pelancong kepada pemanjat petai.
BACA: Jika mahu buat duit, inilah tempatnya, datang ke Dabong!
Nik Ali ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, pekerjaan baharu sebagai pemanjat petai bermula 14 Jun lepas, selepas sekian lama sektor pelancongan di Dabong sepi.
Nik Ali menjelaskan berjaya memetik 400 hingga 700 papan petai daripada sebatang pokok yang dipanjat dalam kawasan hutan dan kebun di Dabong.
Namun apa yang menjadikan kisahnya tular ialah petai yang dikutip itu dijual secara atas talian dengan menerima tempahan dan membuat pengiklanan melalui media sosial.
"Orang Dabong, kawasan hulu Kelantan yang akses internet sukar pun dah pandai niaga dalam secara dalam talian, kita nak hidup, berniaga tepi jalan orang tak datang, nak hantar petai ke luar daerah tak boleh, jadi kita guna dalam talian sahaja," katanya.
"Saya hantar dalam seminggu dua tiga kali penghantaran luar Kelantan, ada yang menempah dari Kuala Lumpur, ada dari Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.
"Sekali buat penghantaran, 500 papan petai, rata-rata yang mahukan petai dari Dabong," katanya.
Bahkan Nik Ali menjelaskan, penghantaran tempahan petai hampir setiap hari dan kian bertambah sehinggakan beberapa pokok petai sudah kehabisan buahnya.
"Kini saya hanya mampu hantar petai empat kali seminggu disebabkan kehabisan stok di pokok." tambahnya.
Bukan makanan sahaja, petai juga mampu dihantar dan di tempah secara dalam talian.
Bahkan langkah dilakukan Nik Ali diikuti anak muda kampung lain dan rakan rakan yang menawarkan buah dan juga produk hutan lain.
#COVID-19 #pemandu pelancong #pemanjat petai
;