Jual MyKad: Kes 2019, pegawai JPN telah ditangkap dan pembeli diusir - Saifuddin

Afiezy Azaman
Jun 17, 2023 10:10 MYT
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, isu yang tular mengenai seorang warganegara China memperolehi kad pengenalan Malaysia merupakan kes yang berlaku pada tahun 2019.
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, isu yang tular mengenai seorang warganegara China memperolehi kad pengenalan Malaysia merupakan kes yang berlaku pada tahun 2019.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) jelas beliau, menyedari dan mengenal pasti penularan gambar berkenaan secara meluas di media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp.
"Luas sekali berlegar dalam grup (kumpulan) WhatsApp isu warga China dapat MyKad. Seperti biasa serangan ditala (dituju) kepada Kerajaan Madani tanpa rasa bersalah untuk menyemak maklumat.
"Asal dapat main (timbulkan) sentimen perkauman dan dapat keuntungan politik mereka puas hati," katanya dalam muat naik di Instagram, pada Sabtu.
Saifuddin berkata, ketika berlaku kejadian itu, negara bukan ditadbir oleh Kerajaan Madani sebaliknya, di era Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.
"Saya pun yakin beliau (Muhyiddin) tak terlibat dalam isu berkenaan. Pegawai Jabatan Pendaftaran yang terbabit pun dah ditangkap, disiasat dan kini sedang dibicarakan," jelasnya.
Bahkan, tegas Saifuddin lagi, pemegang MyKad terbabit juga telah diusir kembali ke negara asal.
Pada Jumaat, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan isu yang sedang tular di media sosial berhubung 'beberapa kakitangan JPN Pulau Pinang dicekup polis kerana terlibat pengeluaran dokumen palsu yang sah', berlaku pada 2019.
JPN dalam kenyataan memaklumkan, kes berkenaan merujuk tangkapan seorang pegawai JPN Pulau Pinang pada tahun terbabit.
"Siasatan telah dilakukan oleh pihak berwajib ketika itu dan pegawai telah ditahan dan dituduh di bawah beberapa kesalahan, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Untuk makluman, perbicaraan kes berkenaan sedang berjalan dan tertuduh masih ditahan di penjara," menurut kenyataan itu.
#jual mykad #warganegara China #Saifuddin Nasution Ismail #Kementerian Dalam Negeri
;