Jual minyak masak subsidi lebih mahal, peniaga berdepan tindakan undang-undang

Abd Razak Mohd Ali
Julai 18, 2024 10:20 MYT
Anggota KPDN ketika melalukan operasi Op Samar ke atas satu premis perniagaan di Teluk Intan. - Foto KPDN Perak
IPOH: Seorang peniaga di Teluk Intan bakal berdepan tindakan undang-undang kerana disyaki menjual minyak masak paket bersubsidi lebih mahal daripada harga kawalan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, peniaga tersebut didapati menjual minyak masak paket itu pada harga RM3 sekilogram, berbanding RM2.50 yang ditetapkan.
Menurutnya, tindakan itu adalah hasil Op Samar yang dijalankan kira-kira jam 10.50 pagi semalam selepas menerima aduan daripada orang awam.
“Pasukan Penguat Kuasa telah melakukan pemeriksaan dengan kaedah penyamaran dengan membuat uji beli melalui Op Samar.
“Satu uji beli minyak masak paket 1 kilogram yang dilaksanakan oleh pegawai berkenaan dan maklumbalas daripada anak pemilik perniagaan minyak masak paket 1kg bersubsidi dijual dengan harga RM3,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kamalludin berkata, setelah uji beli selesai dilakukan, sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa beruniform kemudiannya telah masuk ke dalam premis dan telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan di ruangan jualan minyak masak paket mendapati harga yang dipamerkan adalah RM2.50 sekilogram, namun apabila pelanggan membuat bayaran, harga yang dikenakan adalah RM3.
Berikutan penemuan tersebut, katanya, satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada pemilik premis.
Ujarnya, sebanyak 55 kilogram minyak masak paket yang ditemui telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM165.
Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
#minyak paket #Op Samar #minyak masak #kpdn
;