Jual kotak TV Android penstriman cetak rompak, pengarah syarikat IT didakwa

Astro Awani
Februari 10, 2021 18:57 MYT
Sekiranya disabit kesalahan, syarikat itu boleh dedenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidka lebih daripada RM40,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat terkenal yang menjual peranti dan perkakasan di Shah Alam menjadi syarikat pertama didakwa di mahkamah atas kesalahan mempromosikan peranti kotak Android bagi membolehkan pintasan ke atas langkah perlindungan teknologi terhadap karya siaran pemilik hak cipta di premis perniagaan berkenaan.
Pengarah syarikat tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan itu ketika dihadapkan di Mahkamah Seksyen Jenayah, Shah Alam di hadapan Hakim Rofiah Ahmad pada 8 Februari lalu.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dalam perjalanan pada sekitar 4.55 petang pada 2 September lalu untuk menjual peranti kotak Andorid jenama ‘Long TV’ yang mengandungi saluran kandungan karya siaran pemilik hak cipta tanpa kebenaran.
Syarikat yang beralamat di I-City, Persiaran Multimedia, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor itu didapati melanggar Seksyen 41(1)(ha) Akta Hak Cipta 1987 kerana menjual teknologi atau alat bagi tujuan memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam subseksyen 36A(3), Akta yang sama.
Hakim Rofiah menetapkan tarikh keputusan hukuman pada 1 Mac ini.
Sekiranya disabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pembekal dan penjual yang menyalahgunakan peranti kotak Android bagi tujuan memintas atau mengakses kandungan yang dilindungi karya hak ciptanya secara haram.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penjualan peranti TV Android Box yang mengandungi aplikasi atau disertakan dengan pakej perkhidmatan penstriman kandungan cetak rompak.
“Pengguna juga disarankan agar menyalurkan maklumat kepada Kementerian ini dengan melaporkan sebarang kegiatan cetak rompak melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau WhatsApp di talian 019-279 4317.
"Orang ramai juga boleh membuat laporan di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri di pejabat KPDNHEP berdekatan," katanya pada Rabu.
#kotak Android #Cetak rompak #Long TV #Rofiah Ahmad #jenayah #Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna #KPDNHEP
;