Jual ketum di sebalik karipap

Adie Sufian Zulkefli
April 15, 2020 13:05 MYT
Suspek direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan selepas dipercayai menjua air ketum. Gambar/ Astro AWANI.
Tindakan seorang wanita menjual air ketum di sebalik perniagaan karipap gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila gerainya di Kampung Bendang Baru, Kuah diserbu polis, petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata suspek berusia 45 tahun mengaku menjual air ketum bagi menambah pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui 44 bungkusan plastik mengandungi cecair dipercayai air ketum dengan anggaran 13.2 liter yang diletakkan di dalam sebuah tong di gerainya," katanya di sini.
Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
#air ketum #gerai #karipap #ketum #Langkawi #Mohd Iqbal Ibrahim #penjual #polis #tampung pendapatan
;