Jual kereta terpakai dengan harga RM1

Sinar Harian
Disember 29, 2021 09:48 MYT
Proton Iswara Aeroback berharga RM1 yang diinfakkan kepada Isa (dua dari kanan) di bengkel kereta Makdad Workshop milik Shikh Muhammad (dua dari kiri) di Gangsa, Alor Gajah pada Selasa. - Foto Sinar Harian
ALOR GAJAH: Seorang pemilik bengkel kereta di Gangsa Durian Tunggal di sini menjual sebuah Proton Iswara Aeroback terpakai kepada seorang warga emas dengan hanya RM1.
Shikh Muhammad Makhdad Haron, 48, yang merupakan pemilik Makdad Workshop menjual kereta berkenaan kepada Isa Abdul Ghani, 72, seorang penjual roti canai segera.
Shikh Muhammad berkata, hatinya tersentuh apabila dimaklumkan rakannya mengenai kesempitan hidup dilalui warga emas terbabit yang terpaksa menjual roti canai segera di kedai-kedai dan kantin sekolah demi kelangsungan hidup.
Dia bagaimanapun berkata, wang RM1 itu hanyalah simbolik untuk menginfakkan kereta berkenaan supaya memudahkan Isa menghantar tempahan disebabkan tidak mempunyai kenderaan sendiri.
"Sebelum ini, pak cik Isa mempunyai sebuah kereta tetapi terpaksa dijualnya kerana sering mengalami kerosakan.
"Dengan kelebihan dan kemahiran yang ALLAH SWT berikan kepada saya sebagai seorang pemilik bengkel kereta, saya terpanggil untuk membantunya walaupun nilainya tidak seberapa," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Shikh Muhammad yang juga mesra dengan panggilan Pak Ngah berkata, Proton Iswara Aeroback itu merupakan kenderaan ketiga yang telah diinfakkan kepada golongan kurang bernasib baik.
"Sebelum ini, saya infakkan sebuah kereta kepada seorang ibu tunggal yang mempunyai anak ramai dan hanya bergerak menggunakan motosikal," katanya.
Sementara itu, Isa berkata, selepas menjual keretanya, dia buntu apabila sukar untuk bergerak, lebih-lebih apabila mendapat tempahan sebanyak 800 keping roti canai.
Berasal dari Kampung Semabok Dalam di sini, Isa berkata, walaupun sudah dimamah usia, selagi mempunyai kudrat dan kesihatannya baik, dia akan terus berdikari untuk menyara isterinya berusia 76 tahun.
"Memang saya mempunyai seorang anak. Tapi dia juga mempunyai tanggungan keluarga. Syukur ALLAH SWT masih memberikan rezeki kesihatan kepada saya.
"Bila ada orang yang berikan kereta ini untuk memudahkan saya menjual roti canai, saya terharu kerana masih ada insan yang prihatin," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#kereta terpakai #warga emas #Proton Iswara Aeroback #penjual roti canai
;