Jual kereta biaya rawatan anak sakit buah pinggang
Sinar Harian
Julai 3, 2018 09:53 MYT
Julai 3, 2018 09:53 MYT
Seorang peneroka di Felda Pemanis 2, di sini, terpaksa menjual kereta bagi biayai kos rawatan dialisis anaknya.
Mohamad Awang, 68, berkata, kedua-dua buah pinggang anak lelakinya, Rosdi Mohamad, 30, mengecut dan tidak dapat berfungsi dan menjalani rawatan dialisis pada hujung 2013.
“Pada awalnya, kami terima bantuan RM8,000 daripada Baitulmal untuk buat tapak dialisis di tangan kanan di Hospital Pakar Johor (KPJ Johor) pada 2014.
“Namun, tapak dialisis itu tidak dapat bertahan lama dan rosak sehingga memaksa kami mengeluarkan kos sendiri sebanyak RM5,000 untuk membuat tapak baharu di tangan kirinya pula,” katanya.
Menurut bapa kepada enam anak itu, dia kemudian berpakat dengan isterinya, Rubiah Samad, 67, untuk menjual kereta miliknya untuk menampung kos pemasangan tapak dialisis anaknya itu.
“Sebagai bapa, saya tidak kisah berkorban demi anak dan setiap bulan saya peruntukan RM500 untuk Rosdi jalani rawatan dialisisnya di sebuah pusat hemodialisis di Bukit Siput,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Rosdi berkata, beberapa hari sebelum kedua-dua buah pinggangnya rosak, dia demam panas teruk sehingga mengakibatkan badannya kuning dan muntah-muntah.
Katanya, disebabkan demam makin teruk, ibu bapa saya bawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS) sebelum ditahan di wad sebulan dan dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Menurutnya, kini dia menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di sebuah pusat hemodialisis di Bukit Siput, di sini dan kos rawatannya pula ditanggung sepenuhnya Baitulmal.
Mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga tersebut boleh menyalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Rosdi, 0112141000020499 atau menghubunginya di talian 017-7845060.