Jual kad UNHCR palsu, warga Myanmar ditahan
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 22, 2019 21:18 MYT
Ogos 22, 2019 21:18 MYT
Kegiatan seorang lelaki warga Myanmar yang cuba mengaut keuntungan dengan menjual kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) terbongkar apabila dia akhirnya ditahan polis.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan dalam serbuan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira- kira jam 1.30 tengah hari Rabu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, siasatan mendapati lelaki itu menjual kad berkenaan dengan harga RM30 kepada rakan senegaranya sejak dua bulan lalu.
Nik Ros Azhan berkata, ketika pemeriksaan dilakukan di rumah tersebut, pihak polis menemui lima kad UNHCR atas pelbagai nama disyaki palsu.
Selain itu, pihak polis turut menjumpai empat keping i-kad, tiga keping pasport Myanmar dan lima keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang disyaki palsu.
Beberapa peralatan untuk mencetak kad UNHCR palsu itu juga ditemui.
Kesemua barang rampasan dan suspek telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah untuk siasatan lanjut dan suspek direman dibawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
#Akta Imigresen
#Bukit Mertajam
#kad UNHCR palsu
#Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan
#Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian
#Polis Daerah Seberang Perai Tengah
#Taman Sri Rambai
#UNHCR
#warga myanmar