Jual beli makanan di lampu isyarat satu kesalahan

Sinar Harian
Oktober 15, 2018 11:55 MYT
Tindakan menjaja di lampu isyarat adalah satu kesalahan. -Foto Sinar Harian
Trend menjaja makanan berhampiran lampu-lampu isyarat sekitar jalan raya di negeri ini adalah satu kesalahan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, aktiviti jual beli makanan di tengah-tengah jalan itu bukan sahaja menganggu aliran trafik, malah turut membahayakan keselamatan penjaja dan pembeli serta pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, mereka yang menjaja dan membeli menggunakan cara itu boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada.
“Mana-mana jalan raya dan lampu isyarat di negeri ini bukan tempat menjaja dan tindakan saman boleh dikenakan kerana menganggu kelancaran trafik serta menghalang lalu-lintas.
“Penjaja yang jual makanan itu boleh disaman, pengguna jalan raya yang membeli makanan pun boleh disaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Dialog Ketua Polis Kelantan bersama ahli-ahli Malaysian Palm Oil Association (MPOA) cawangan Kelantan, semalam.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama mereka yang terlibat supaya menghentikan cara mencari pendapatan seperti itu dan mematuhi undang-undang di negara ini.
“Kita tidak boleh ikut cara di negara lain seperti Indonesia yang menjaja merata-rata di jalanan kerana negara ini ada peraturannya sendiri. Perbuatan ini juga menganiaya pengguna jalan raya lain yang tidak terlibat dengan urusan tersebut kerana terpaksa menunggu jual beli selesai apabila lampu trafik hijau.
“Kami tidak halang orang ramai, khususnya anak muda yang hendak mencari rezeki, tetapi biarlah rezeki yang dibawa balik itu, ‘manis’ dan bukannya hasil daripada aktiviti bertentangan dengan peraturan,” katanya.
Kebelakangan ini, trend menjaja di jalan utama di sekitar bandar ini menjadi-jadi seolah-olah seperti di Indonesia dengan jualan pelbagai jenis makanan ringan seperti piza, burger, yong tau fu, bebola daging dan minuman.
Mereka menjaja makanan dan minuman tersebut dari kereta ke kereta ketika lampu isyarat merah di persimpangan.
Julai lalu, enam penjaja berusia antara 19 dan 20 tahun ditahan di Jalan Kuala Krai dan Jalan Pengkalan Chepa dengan dikenakan saman mengikut Kaedah 10A LN 166/59.
Kaedah memperuntukkan denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.
#Hasanuddin Hassan #jual beli #Ketua Polis Kelantan #penjaja #undang-undang
;