'Jual beli' bayi ribuan ringgit dalam talian

Bernama
Februari 16, 2020 11:27 MYT
Berkongsi pengalaman urusan jual beli bayi di media sosial, seorang wanita mengaku telah dua kali berunding dengan dua ibu kandung menerusi laman sosial untuk mengambil bayi mereka sebagai anak angkat. - Gambar hiasan
Sima (bukan nama sebenar) ditawarkan seorang bayi untuk dijadikan anak angkat tetapi perlu membayar pelbagai kos sehingga mencecah RM15,000.
Wanita berusia 35 tahun itu berkata dia mencari anak angkat menerusi laman sosial sejak awal tahun lepas dan nyaris ditipu ibu kandung bayi yang dikenalinya kira-kira 10 bulan lepas apabila wanita terbabit mengarahkannya membuat transaksi wang melalui bank.
“… tetapi saya bertegas mahu bersemuka dengannya bersama bayi itu… dia paksa saya masukkan duit dalam akaunnya… bila saya bertegas saya disekat daripada menghubungi ibu kandung itu,” katanya yang nyaris rugi ribuan ringgit.
Selain kes itu, terdapat juga orang tengah atau pihak tertentu menawarkan bayi untuk dijadikan anak angkat dengan bayaran tertentu.
Kebanyakan mereka beroperasi melalui media sosial dan hasil carian Bernama selama lebih sebulan mendapati terdapat pelbagai akaun yang menggunakan kata kunci ‘anak angkat’ dengan rata-rata kos yang perlu ditanggung bakal ibu bapa angkat mencecah RM10,000 hingga RM20,000.
Prosesnya juga mudah iaitu mereka yang ingin mendapatkan anak angkat hanya perlu mengisi butiran peribadi seperti pekerjaan, tempat tinggal, sebab untuk mengambil anak angkat dan yang paling penting perlu bersedia menanggung kos yang mencecah RM10,000 sehingga RM20,000.
Ada juga yang meletakkan harga bayi mengikut warganegara dan bukan warganegara serta yang sah taraf dan tidak sah taraf.
'Pelanggan’ juga perlu membayar wang deposit antara RM2,000 hingga RM7,000 dengan alasan wang itu adalah untuk kegunaan pembayaran kos bersalin di hospital swasta dan sagu hati kepada ibu kandung untuk meneruskan kehidupan.
Menceritakan pengalamannya, Sima berkata: “Saya pernah ditawarkan bayi tetapi perlu membayar RM15,000 untuk kos bersalin di hospital swasta dan sagu hati kepada ibu kandung. Urusan penawaran itu dilakukan oleh seorang individu yang menjadi orang tengah kepada ibu kandung bayi berkenaan."
Berkongsi pengalaman urusan ‘jual beli’ bayi di media sosial, seorang lagi wanita, Fizah (bukan nama sebenar) berusia 30 tahun, menceritakan pengalamanya yang telah dua kali berunding dengan dua ibu kandung menerusi laman sosial untuk mengambil bayi mereka sebagai anak angkat.
“Sudah dua kali saya hampir nak dapatkan anak angkat tetapi ibu kandung batalkan kerana mendapat tawaran yang lebih (tinggi) daripada orang lain.
“Saya jadi tertekan kerana semua barang keperluan bayi sudah dibeli tetapi akhirnya ibu kandung enggan menyerahkan anaknya kepada saya kerana ada pasangan lain yang menjanjikan tawaran wang yang lebih tinggi,” katanya yang sudah lima tahun berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata.
Katanya sehingga kini dia masih menerima mesej menerusi laman sosial daripada pihak tertentu menawarkan bayi mereka untuk dijadikan anak angkat.
Kedua-dua wanita itu sehingga kini gagal mendapatkan anak angkat melalui dalam talian.
Ditanya mengapa tidak mendapatkan anak angkat menerusi saluran yang betul seperti mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tanggapan mereka adalah sama iaitu prosesnya lambat dan perlu melalui beberapa tapisan serta tidak boleh memilih jantina bayi yang mereka mahu.
Persoalannya adakah cara untuk mendapatkan anak angkat yang seolah-olah ‘urusan jual beli bayi’ itu sah di sisi undang-undang dan sejauh mana jaminan pasangan yang berurusan itu akan mendapat anak yang diidam-idamkan.
Sebuah akaun yang menawarkan perkhidmatan mencari anak angkat di laman sosial mendakwa mereka adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu ibu kandung mencari keluarga angkat untuk anak mereka.
Hasil perbualan Bernama bersama wakil NGO itu menjelaskan kebanyakan golongan ibu yang menggunakan khidmat organisasi itu mengalami pelbagai masalah peribadi termasuk melibatkan wang.
“Mereka (ibu kandung) ini datang dengan pelbagai masalah dan minta RM12,000 hingga RM14,000… apabila diselidik memang mereka berdepan dengan masalah hutang dan rancang jual anak untuk selesaikan hutang,” katanya yang menganggap perkara itu sebagai situasi menang-menang apabila kedua-dua pihak mendapat apa yang mereka mahukan.
Beliau berkata pihaknya akan mengenakan bayaran perkhidmatan antara RM200 dan RM500 bagi setiap keluarga angkat yang mahukan perkhidmatan mereka dan duit itu akan digunakan untuk rumah anak-anak yatim di bawah pengurusan mereka.
Bagaimanapun, urusan yang boleh diibaratkan sebagai 'jual beli’ bayi di media sosial itu menimbulkan kerisauan mengenai nasib bayi itu.
Pengerusi Pelindung Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Syed Azmi Alhabshi berkata bayi berkenaan tidak boleh dipantau dan butiran lengkap ibu bapa angkat juga tidak direkod untuk tindakan seterusnya.
“Jika menerusi JKM, butiran ibu bapa direkod dan keadaan bayi dapat dipantau bagi memastikan nasibnya terbela…yang menjadi kerisauan saya adalah apa nasib bayi selepas dijaga ibu bapa angkat menerusi laman sosial ini.
“Perkara yang dibimbangkan adalah jika bayi itu tidak mempunyai sijil kelahiran dan tiada warganegara,” katanya yang pernah berdepan dengan masalah ibu kandung menghilangkan diri selepas menyerahkan bayi mereka kepada keluarga angkat.
-- BERNAMA
#Anak angkat #anak tidak sah taraf #atas talian #bayi #dalam talian #harga bayi #jual beli bayi #laman sosial #media sosial #orang tengah #rugi ribuan ringgit #undang-undang
;