Juadah berbuka puasa yang masyhur di Sarawak

Fareez Azman
April 13, 2022 16:00 MYT
Negeri Sarawak tidak ketinggalan menawarkan pelbagai juadah istimewa untuk berbuka puasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setiap kali tibanya bulan Ramadan, pelbagai juadah berbuka puasa menjadi pilihan rata-rata umat Islam di seluruh negara.
Jika di Johor popular dengan air katira, nasi ambeng, rojak asma dan pais ikan, negeri Melaka pula sudah tentu sinonim dengan asam pedas.
Begitu juga di negeri-negeri lain seperti di Pahang terkenal dengan patin tempoyaknya dan Pulau Pinang terkenal dengan nasi kandarnya.
Sementara di Sarawak pula, apa yang perlu diketahui oleh orang-orang di Semenanjung ialah, juadah yang pastinya menjadi tumpuan pada setiap bulan Ramadan di negeri itu ialah kuih bongkol, umai, kuih takir dan bubur pedas.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Kuih bongkol
Diperbuat daripada adunan tepung beras, santan dan gula apong dan dibungkus dengan daun pisang seakan akan lepat pisang.
Rasa kuih bongkol yang lemak dan manis dengan haruman daun pisang menjadikannya kuih yang sangat unik dan sering menjadi buruan ketika berbuka puasa.
Umai
Makanan tradisi masyarakat Melanau ini sudah tentu menjadi antara makanan wajib cuba buat anda ketika berada di Sarawak.
Umai yang diperbuat daripada hirisan isi ikan, diperap dengan hirisan bawang, cili, perahan limau nipis menjadikannya juadah popular ketika bulan Ramadan.
Kuih takir
Sekali pandang macam kuih tepung pelita, tetapi kuih takir amat unik dengan rasa gula apong yang menjadi pembangkit selera ketika berbuka puasa.
Diperbuat daripada tepung beras dan gula apong, kuih takir dibalut dengan daun nipah dan berbentuk lebih panjang berbanding kuih tepung pelita.
Selorot
Diperbuat daripada tepung beras, tepung jagung dan gula apong, kuih selorot merupakan kuih tradisional masyarakat Sarawak.
Bentuknya yang unik menjadikan kuih selorot antara juadah popular ketika berbuka puasa.
Cara masakannya juga berbeza, kuih selorot dimasak di dalam lilitan daun nipah.
Untuk anda yang baru mencuba kuih selorot, cara makannya juga berbeza. Anda hanya perlu memicit di bahagian hujung kuih untuk memastikan kuih tidak patah ketika dimakan.
Bubur pedas
Bubur Pedas antara juadah yang dicari cari ketika bulan Ramadan.
Berbeza dengan bubur nasi di Semenanjung, bubur Pedas diperbuat daripada campuran rempah istimewa.
Bahan lain digunakan, kacang panjang, sohon dan tauhu keping menjadikan rasanya yang unik menjadi buruan masyarakat setempat.
Sekali pandang, nampak seolah-olah kari, tetapi inilah bubur pedas yang menjadi keunikan di Sarawak.
#Ramadan #Sarawak #Juadah Berbuka Puasa #Kuih Bongkol
;