JTI komited rancak industri pelancongan Johor

Astro Awani
April 1, 2022 13:00 MYT
Majlis MoU antara JTI bersama Pinetree Marina Resort, Fraser Place Puteri Harbour dan Hard Rock Cafe Puteri Habour di Iskandar Puteri. - Astro AWANI
ISKANDAR PUTERI: Platform pemasaran digital, Johor Tourism Interchange (JTI) terus komited dengan misinya dalam merancakkan semula industri pelancongan di Johor menerusi medium digital.
Susulan itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) temeterai antara JTI bersama Pinetree Marina Resort, Fraser Place Puteri Harbour, dan Hard Rock Cafe Puteri Harbour bagi memperkasakan usaha berkenaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Santhara J.P berkata, kerjasama berkenaan membolehkan penggiat sektor pelancongan yang terlibat mewujudkan saluran komunikasi bagi memperkasakan pertukaran maklumat, kerjasama saintifik dan teknikal menerusi platform digital yang disediakan JTI.
Di samping inisiatif yang diterajui Johor Tourism itu mampu menyediakan ruang buat agensi pelancongan tempatan dalam memasarkan produk mereka ke peringkat global.
"MOTAC menekankan bahawa ini merupakan satu kerjasama pintar diperolehi JTI yang mana kita mendapati bahawa JTI ini mampu bergerak ke hadapan dalam sediakan peluang kepada banyak lagi agensi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis MoU antara JTI bersama Pinetree Marina Resort, Fraser Place Puteri Harbour dan Hard Rock Cafe Puteri Habour di Iskandar Puteri, pada Khamis.
Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, usaha itu mampu ditingkatkan dengan penglibatan lebih banyak penggiat industri dalam menjalinkan hubungan kerjasama bersama JTI.
Berikutan itu, pihaknya sedang menyasarkan kerjasama secara global bagi membolehkan produk pelancongan tempatan dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
"Yang terkini kita ada membuat kerjasama dengan Indonesia. Kembali dari Jakarta kita sudah mendatangani kerjasama dengan beberapa syarikat daripada Indonesia untuk saling bekerjasama menggunakan platform sedia ada," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi gambaran bahawa sektor pelancongan di negeri itu mampu beransur kepada tahap yang lebih selesa dalam tempoh enam bulan akan datang, susulan peralihan fasa endemik.
Bagaimanapun, jelas beliau, usaha mengembalikan zaman kegemilangan ekonomi di Johor akan memerlukan usaha berterusan semua pihak selain bakal memakan masa yang lama.
#pelancongan #JTO #digital #MoU
;