JSPT tidak akan berkompromi salah laku anggota ketika bertugas - PDRM
Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 9, 2022 13:41 MYT
Mei 9, 2022 13:41 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menegaskan tidak akan sama sekali berkompromi terhadap salah laku atau masalah disiplin yang dilakukan oleh anggotanya ketika menjalankan tugas.
Mengulas mengenai rakaman video tular memaparkan seorang lelaki yang didakwa anak kepada seorang Ahli Parlimen (MP) yang memandu dengan diiringi dua anggota polis trafik beberapa hari lalu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Supt. Bakri Zainal Abidin menjelaskan, pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan memastikan siasatan terperinci dilakukan.
“Buat masa ini pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM sedang melakukan siasatan bagi kes tersebut. Kita nak tegaskan bahawa pihak JSPT sama sekali tidak akan memandang ringan kesalahan atau kecuaian yang dilakukan oleh mana-mana anggota dalam konteks melanggar arahan ketika bertugas,” jelasnya ketika dihubungi oleh Astro AWANI hari ini.
JSPT juga katanya sangat mengalu-alukan dan berterima kasih terhadap sebarang maklumat atau laporan aduan yang dikongsikan oleh semua pihak termasuk orang awam bagi menambah baik mutu perkhidmatan PDRM ketika ini.