JSPT laksana tindakan penguatkuasaan ke atas pengguna kenderaan di seluruh negara

Bernama
Julai 28, 2023 06:30 MYT
Penguatkuasaan itu memfokus kepada pematuhan peraturan lalu lintas meliputi Op Lampu Isyarat Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Halangan Lalu Lintas, Op Garisan Putih, Op Parkir Haram dan Kempen Op Didik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas semua pengguna kenderaan di seluruh negara bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas.
Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar berkata penguatkuasaan itu memfokus kepada pematuhan peraturan lalu lintas meliputi Op Lampu Isyarat Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Halangan Lalu Lintas, Op Garisan Putih, Op Parkir Haram dan Kempen Op Didik.
Beliau berkata operasi penguatkuasaan akan dilaksana secara berterusan di semua kontinjen dan daerah dengan tumpuan di kawasan kerap berlaku kemalangan serta ketidakpatuhan peraturan lalu lintas.
"JSPT menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.
"Kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran ke atas kepentingan menjaga keselamatan diri dan orang lain," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tinjauan Bernama mendapati ramai penunggang motosikal dan pemandu kenderaan mematuhi garisan putih iaitu kawasan yang dibenarkan berhenti ketika lampu isyarat merah dan tidak meletakkan kenderaan di kawasan petak kuning atau parkir berlapis yang boleh menghalang pergerakan lalu lintas.
Inspektor Penguatkuasa Trafik Kuala Lumpur Ahmad Mahfuz Mhd Zakaria berkata kesalahan masih berlaku tetapi sejak pelaksanaan Op Hormat pada 1 Julai lepas, jumlah saman yang dikeluarkan berkurangan berbanding awal bulan ini.
"Ini bermakna pengguna jalan raya semakin peka dan mematuhi undang-undang jalan raya, mungkin sebelum ini mereka sering tidak mengendahkan peraturan namun pelaksanaan Op Hormat mendidik orang awam dalam mengikut undang-undang lalu lintas," katanya.
Bagi Azreen Ariffin, 28, yang juga seorang guru, Op Hormat amat baik dalam memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya di ibu negara manakala kehadiran anggota polis yang bertugas di kawasan lalu lintas pada waktu puncak menjadikan mereka mematuhi peraturan.
"Keadaan lalu lintas menjadi lebih selamat. Semua mematuhi undang-undang jalan raya, semua nak mengelak daripada disaman," katanya kepada Bernama.
Polis Kuala Lumpur melaksanakan Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya di sekitar ibu negara dari 1 hingga 31 Julai ini untuk memberikan pendedahan, kesedaran dan pendidikan kepada pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang. - BERNAMA
#kesedaran dan pendidikan #Op Halangan Lalu Lintas #peraturan lalu lintas #tindakan penguatkuasaan
;