JSJN rampas dadah bernilai RM64.9 juta sejak Mac

Sinar Harian
Julai 20, 2024 05:00 MYT
Datuk Khaw Kok Chin berkata, bagi tempoh tersebut, JSJN menahan 1,516 individu melibatkan sebanyak 988 kes dadah di seluruh negara.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas dadah bernilai RM64.9 juta bagi tempoh Mac hingga Mei pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, bagi tempoh tersebut, JSJN menahan 1,516 individu melibatkan sebanyak 988 kes dadah di seluruh negara.
Beliau berkata, bagi tempoh sama, pihaknya telah memperolehi beberapa kejayaan besar dengan menumpaskan sindiket bersama rampasan dadah dalam kuantiti besar dan rampasan senjata api.
"Ini satu kejayaan sangat baik dicapai oleh JSJN dalam menangani kes dadah di negara ini.
"Kita di PDRM akan terus menjalankan operasi dan tangkapan bagi memastikan negara bebas daripada najis dadah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Kok Chin berkata, PDRM akan terus membanteras cubaan menyeludup dadah ke Malaysia yang dilakukan oleh pihak sindiket.
Tegas beliau, pihaknya akan berusaha keras memastikan negara bebas daripada penggunaan najis dadah.
Jelasnya, PDRM akan menggunakan segala kepakaran yang ada bagi menumpaskan sindiket dadah.
Orang ramai diminta untuk membantu PDRM dengan menyalurkan sebarang maklumat berhubung penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing.
"Saya berharap orang ramai dapat terus membantu pihak polis dan melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Diharap kerjasama baik ini akan dapat menyelamatkan negara dan masyarakat daripada najis dadah," ujarnya. - Sinar Harian
#JSJN #rampasan dadah #Bukit Aman #Khaw Kok Chin