JPV terima aduan kes rasmi penemuan puluhan bangkai kucing di Cheras
Bernama
Mac 28, 2023 16:31 MYT
Mac 28, 2023 16:31 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah menerima aduan rasmi pada 24 Mac lepas berhubung kes penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing. di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 11 Mac lepas.
Susulan aduan tersebut, JPV dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan JPV Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah membuat pemeriksaan di lokasi kejadian pada 25 Mac, namun premis berkenaan tidak lagi berpenghuni dan telah dibersihkan serta tidak menjumpai sebarang bangkai haiwan.
"JPV sedang meneliti kes ini dan akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut," menurut jabatan itu.
Sebelum ini, Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menerusi akaun Facebook mendedahkan tentang penemuan puluhan rangka, organ dan bangkai kucing di dalam sebuah rumah yang disewa oleh seorang lelaki tempatan.
Perbuatan itu terbongkar selepas jiran di kondominium berkenaan membuat aduan berhubung bau busuk dari rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin dilapor berkata seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun ditahan pada 25 Mac bagi membantu siasatan kes penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing di kondominium itu.
-- BERNAMA