KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu baru-baru ini mengesan dua kes penyakit brucellosis ke atas lebih 400 ekor lembu dan kambing yang dipercayai diseludup ke negara ini.

Pengarahnya Dr Anum Man berkata kes jangkitan brucellosis yang merupakan penyakit zoonotik boleh menjangkiti manusia itu merupakan yang pertama dikesan pihaknya, sejak saringan penyakit dilaksanakan terhadap ternakan seludup tahun lepas.

"Kes pertama melibatkan 300 ekor lembu yang ditangkap di Dungun pada bulan lepas (Mei) manakala kes kedua pula melibatkan 146 ekor kambing yang ditangkap di Setiu pada 23 Mei lalu.

"Kesemua haiwan yang disyaki diseludup dari Thailand itu telah disahkan positif jangkitan brucellosis dan kita telah kuarantin kesemua haiwan terbabit mengikut Seksyen 18 Akta Binatang 1953 (Akta 647)," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Dr Anum berkata jangkitan brucellosis boleh menjangkiti manusia menerusi susu haiwan yang tercemar dan sentuhan langsung melalui luka rembesan daripada haiwan berpenyakit.

Beliau berkata penyakit itu akan menyebabkan individu antara lain mengalami demam dengan suhu tinggi dan berpanjangan, sakit kepala, lemah seluruh badan dan pada peringkat kronik boleh menyebabkan jangkitan pada organ dalaman termasuk saluran kencing.

Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat terutama pada musim Hari Raya Aidiladha ini supaya berhati-hati memilih haiwan untuk dijadikan korban serta mengelakkan haiwan yang dibawa masuk ke negara ini tanpa sijil kesihatan serta permit pemindahan yang sah.

Beliau berkata antara ciri haiwan yang telah dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah adalah dijual pada harga rendah berbanding pasaran.

Selain itu, Dr Anum berkata pihaknya menjangkakan 5,000 hingga 7,000 ekor haiwan terlibat dalam ibadah korban tahun ini, meliputi ternakan ruminan dengan 96 peratus lembu.

Beliau berkata berikutan tujuh rumah sembelih di bawah kelolaan JPV Terengganu dan tiga rumah sembelih swasta yang telah diluluskan tidak dapat menampung kesemua penyembelihan ternakan ibadah korban, pihaknya telah memberikan kebenaran penyembelihan di luar rumah sembelih.

Beliau berkata permohonan bagi Permit Sembelihan Luar boleh didapati di Pejabat Perkhidmatan Veterinar berdekatan yang telah dibuka mulai 26 Mei lepas hingga esok (12 Jun) dengan fi RM35 seekor bagi lembu dan kerbau manakala RM25 seekor bagi kambing dan bebiri.

Sehingga 10 Jun katanya JPV Terengganu menerima 873 permohonan Permit Sembelih Luar sempena ibadah korban melibatkan 1,985 lembu, 63 kambing dan lima kerbau serta jumlah ini dijangka meningkat menjelang Aidiladha minggu depan.

Sepanjang ibadah korban ini, Dr Anum berkata pihaknya telah melantik 106 orang pegawai teknikal jabatan dan 19 pegawai penguat kuasa veterinar untuk membuat pemeriksaan daging serta pemeriksaan permit kebenaran sembelihan luar rumah sembelih di semua lokasi terbabit, bagi memastikan tiada sebarang penyakit berjangkit pada ternakan.

Beliau juga mengingatkan pihak yang akan melaksanakan ibadah korban supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan sekiranya didapati melakukan penyembelihan tanpa permit, notis amaran akan dikeluarkan dan boleh didenda maksimum RM10,000.

-- BERNAMA