JPV sedia nilai semula langkah wujud konsortium urus ternakan negara
Bernama
September 12, 2017 07:15 MYT
September 12, 2017 07:15 MYT
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sedia melihat dan menilai semula langkah mewujudkan konsortium bagi mengendalikan dan menguruskan ternakan jika ia dapat menjayakan industri ternakan negara.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata usaha untuk mewujudkan konsortium telah dibuat beberapa tahun lepas melibatkan tiga agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan tetapi ketiga-tiga entiti tersebut gagal menubuhkan konsortium yang diharapkan.
"Pemerhatian daripada umum mungkin menampakkan cabaran pengeluaran lembu secara tempatan mudah diselesaikan, namun ia bukan semudah yang difikirkan kerana masalah yang dihadapi oleh industri ini adalah kompleks," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.
Memberi contoh harga, Dr Quaza Nizamuddin berkata harga daging segar tempatan adalah lebih rendah berbanding dengan harga di Indonesia, Thailand dan Vietnam.
"Berikutan harga yang rendah, pulangan ke atas pelaburan dalam industri juga rendah dengan risiko yang tinggi. Ini yang menyebabkan hanya usahawan yang secara tradisinya terlibat dalam industri terus terlibat dan tidak dapat menarik minat pelabur baharu," katanya.
Selain itu kata beliau, kawasan penternakan di negara ini adalah terhad dengan banyak syarikat kelapa sawit juga tidak menunjukkan minat untuk menjalankan integrasi ternakan lembu dan tanaman kelapa sawit.
Dalam satu lagi kenyataan, Dr Quaza Nizamuddin berkata JPV terbuka menerima pandangan dan cadangan pelbagai pihak termasuk Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mahu satu perubahan dalam industri pengimportan daging lembu, kambing dan kerbau dengan penyertaan lebih banyak syarikat bumiputera.
"Pendekatan yang perlu diambil adalah untuk melihat model perniagaan yang bersesuaian dan mempunyai ciri-ciri daya saing yang kuat.
"JPV sangat setuju untuk menubuhkan sebuah konsortium bumiputera bagi memastikan penyertaan (bumiputera) yang lebih berkesan," katanya.
Beliau juga menjelaskan JPV tidak terbabit dalam perniagaan dan pengimportan daging ke negara ini, sebaliknya hanya mengawal selia kemasukan haiwan dan produk-produk berkaitan.
Beliau berkata JPV memainkan peranan untuk mengawal selia kemasukan haiwan dan produk-produk berasaskan haiwan dari segi status penyakit haiwan, zoonotik, kebersihan dan keselamatan daging manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memastikan prosedur halal dipatuhi.
"Malaysia mengimport dari 21 buah negara dan pemeriksaan audit dikendalikan ke atas loji penyembelihan luar negara yang ingin mengeksport daging melalui pemeriksaan berdasarkan status penyakit haiwan dan zoonotik, amalan perkilangan yang baik, 'Hazard Analysis Critical Control Point dan halal.
"Loji penyembelihan perlu menepati kesemua keperluan di atas sebelum diberi kelulusan. Ianya dilakukan untuk memastikan daging dihasilkan bebas penyakit, selamat dimakan dan Halal terjamin," katanya.
Dr Quaza Nizamuddin berkata JPV juga melakukan pemeriksaan dan pengauditan ke atas loji dan rumah penyembelihan luar negara secara berjadual berdasarkan piawaian negara yang ditetapkan bagi memastikan daging yang diimport adalah bebas penyakit, selamat dan halal.
Beliau berkata senarai loji yang diberi kelulusan dipaparkan kepada umum dan boleh disemak di http://www.dvs.gov.my/index.php/pages/view/299 atau menghubungi terus loji untuk tujuan mengimport daging kerbau, lembu dan kambing.
-- BERNAMA