JPV Perak nafi keluar larangan beli daging ekoran penyakit lembu

Bernama
Jun 3, 2021 19:03 MYT
JPV dalam kenyataan berkata orang ramai diminta untuk tidak menularkan berita palsu berkenaan. - Gambar hiasan
IPOH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kononnya melarang pembelian daging ekoran penyakit lembu, seperti yang tular di laman sosial media dan aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
JPV dalam kenyataan berkata orang ramai diminta untuk tidak menularkan berita palsu berkenaan.
"Pohon kerjasama semua warga Malaysia yang budiman agar tidak menularkan berita palsu ini," menurut kenyataan itu.
Ia sebagai respons kepada mesej tular yang mendakwa penyakit lembu sedang merebak di negeri Perak dan peniaga menjual daging dengan harga murah disebabkan ada penternak yang sorok dan menyembelih lembu berkenaan biarpun telah dijangkiti penyakit.
Berita palsu itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli daging segar berkenaan dan semua maklumat berita itu kononnya diperoleh daripada JPV Perak.
BACA: Penularan penyakit kulit serang lembu, kerbau
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria ketika dihubungi hari ini berkata orang ramai tidak perlu panik kerana ia tidak serius dan telah dibawa ke makmal untuk diperiksa dengan lebih lanjut.
Sebelum ini beliau dilapor berkata penyakit kulit kental/berbonjol atau Lumpy Skin Disease (LSD) yang menjangkiti kulit pada badan ternakan dikesan tercetus di sebuah ladang ternakan lembu di Simpang Pulai.
Katanya, pengawalan sedang dipantau JPV dan penyakit itu masih terkawal kerana ia hanya berjangkit sesama ternakan melalui kontak rapat haiwan itu serta tidak merebak mahupun membahayakan manusia.
"Orang ramai juga tidak perlu panik kerana mana-mana ternakan yang hendak disembelih mesti mendapat kebenaran daripada JPV dalam memastikan ia bebas daripada penyakit berjangkit," katanya dalam sidang media di Bagan Serai, Selasa lalu.
-- BERNAMA
#lembu #penyakit #daging #Tular #viral #larangan pembelian #JPV #Perak #LSD #simpang pulai
;