JPS ramal banjir di Rompin pada Khamis
Bernama
Disember 20, 2022 16:39 MYT
Disember 20, 2022 16:39 MYT
KUANTAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlakunya banjir di dua lokasi di Rompin mulai 6 petang, Khamis ini.
JPS dalam kenyataan hari ini berkata lokasi yang diramal banjir ialah Kampung Buluh Nipis dan Felda Selancar serta kawasan sekitarnya.
Ramalan itu adalah berdasarkan amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada hari ini, dan hasil simulasi model ramalan banjir.
"Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir," menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.
-- BERNAMA