JPS laksana pelarasan projek PLSB kurangkan impak banjir - Nik Nazmi

Bernama
Februari 20, 2023 12:47 MYT
Nik Nazmi berkata pelarasan dilakukan melibatkan beberapa perkara teknikal termasuk memastikan aliran air dari Sungai Lanchang ke Sungai Golok dapat mengalir keluar dengan lebih baik. -Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan pelarasan terhadap projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 yang sedang dalam pembinaan bagi mengurangkan impak banjir terhadap kawasan sekitarnya.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pelarasan dilakukan melibatkan beberapa perkara teknikal termasuk memastikan aliran air dari Sungai Lanchang ke Sungai Golok dapat mengalir keluar dengan lebih baik.
Beliau berkata langkah pelarasan diambil selepas mendengar pandangan penduduk kampung di sekitar lokasi berkenaan yang terpaksa berdepan dengan masalah banjir sejak projek tersebut bermula.
"Kita kena ambil maklum juga projek ini belum siap sepenuhya, jadi memang ada perkara-perkara dibangkitkan.
"Ada dibuat pelarasan berdasarkan pandangan penduduk dan memandangkan ia tidak siap sepenuhnya timbul beberapa masalah di peringkat proses pembinaan.
"Semua perkara ini kita bangkitkan selepas lawatan saya tempoh hari, saya telah memanggil pihak JPS dan sebab itu mereka terus mengambil inisiatif melakukan beberapa penyesuaian untuk sekurang-kurangnya mengatasi masalah tersebut di Kampung Tersang dan kawasan sekitar," katanya selepas pertemuan dengan ahli Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) di sini malam tadi.
PLSB Sungai Golok Fasa 1 melibatkan hilir Lembangan Sungai Golok di Jajahan Tumpat dan sebahagian di Jajahan Pasir Mas dengan peruntukan berjumlah RM656 juta.
Projek PLSB Sungai Golok bertujuan mengelak masalah banjir termenung dan bah besar di kawasan itu pada masa hadapan.
-- BERNAMA
#Jabatan Pengairan dan Saliran #Nik Nazmi #Sungai Lanchang #Sungai Golok
;