JPS Kelantan jangka Tumpat dilanda banjir berlarutan

Bernama
November 29, 2017 16:53 MYT
Tumpat merupakan jajahan terbaharu dilanda bencana itu apabila 28 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara pagi ini. - Gambar fail
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menjangkakan jajahan Tumpat akan dilanda banjir berlarutan sepanjang Disember depan, memandangkan terdapat empat episod air pasang besar dijangka berlaku pada bulan berkenaan.
Pengarahnya Kamal Mustapha berkata fenomena air pasang besar Laut China Selatan yang paling hampir dijangka berlaku pada 2 hingga 5 Dis ini, dengan ketinggian 1.6 meter.
"Dalam tempoh sama, dijangkakan hujan masih berterusan namun tahapnya diturunkan daripada bahaya kepada buruk.
"Jika hujan berterusan dan air Sungai Golok masih bertahan pada paras 10.5 meter seperti minggu ini, dan dalam masa yang sama berlaku fenomena air pasang besar, ia akan menyebabkan jajahan Tumpat dilanda banjir berlarutan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Tumpat merupakan jajahan terbaharu dilanda bencana itu apabila 28 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.
Mengulas lanjut, Kamal berkata JPS Kelantan memantau rapi perkembangan semasa banjir di Kelantan menerusi perkongsian data taburan hujan di negeri ini dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan Diraja Thailand.
Beliau berkata ini berikutan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan berkongsi Sungai Golok sebagai batas sempadan negara.
"Sekiranya data diperoleh daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan taburan hujan sudah berkurangan di negeri ini, namun kami juga perlu membuat semakan dengan Jabatan Pengairan Diraja Thailand mengenai taburan hujan di kawasan selatan Thailand.
"Ini kerana aliran air hujan dari selatan Thailand akan memasuki Sungai Golok dan melalui Rantau Panjang di Pasir Mas dan Tumpat sebelum mengalir ke Laut China Selatan," katanya.
Dalam pada itu, Kamal berkata pihaknya juga meninggikan benteng di Kampung Pulau Kundur di sini, yang sebelum ini terjejas dengan hakisan pantai bagi mengelak rumah penduduk dimasuki air laut akibat fenomena air pasang besar.
Beliau berkata ia berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku pada Jumaat dan Sabtu lepas dengan ketinggian 1.4 meter menyebabkan beberapa rumah dimasuki air kerana limpahan air laut.
-- BERNAMA
#air pasang #bahaya #banjir #banjir kelantan #berlarutan #buruk #hujan #JPS #PPS #Tumpat
;