JPPKK ambil usaha proaktif tambah baik bidang pengajian
Bernama
Mac 4, 2023 20:35 MYT
Mac 4, 2023 20:35 MYT
JASIN: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sentiasa mengambil usaha proaktif bagi menambah baik bidang pengajian yang ditawarkan supaya program itu kekal relevan serta responsif dalam memenuhi kehendak pasaran semasa.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan JPPKK Muhamad Rumzi Mamat berkata hasil sistem pendidikan yang berkesan itu dapat dilihat dengan kadar kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti melebihi 95 peratus bagi 36 politeknik serta 105 kolej komuniti seluruh negara.
"Usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti juga termasuk kerjasama serta perkongsian pintar bersama industri dalam pembangunan kokurikulum bagi proses pembelajaran dan pengajaran.
"Ini juga dapat meningkatkan kualiti serta pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) untuk melahirkan graduan berkualiti yang memenuhi keperluan industri dan guna tenaga negara," katanya kepada Bernama di Merlimau hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan sidang pertama Majlis Konvokesyen Politeknik Melaka Kali Ke-20 yang turut dihadiri Pengarah Politeknik negeri Razali Johari.
Pada majlis itu, seramai 801 graduan jurusan Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektronik (Kawalan), Kejuruteraan Mekanikal, Perniagaan Antarabangsa dan Akauntansi menerima diploma masing-masing.
Ibu bapa kepada tiga graduan yang telah meninggal dunia turut menerima diploma bagi pihak anak mereka.
Anugerah Pengarah bagi graduan cemerlang diberikan kepada Jocycelyn Sendi Samuel Jenang dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik bagi sesi Disember 2020.
--BERNAMA