JPNT tahan empat bot nelayan dalam Op Penyu

Nur Fazlizai Ali
Januari 31, 2022 07:01 MYT
Hasil pemeriksaan ke atas kesemua bot itu turut menemukan seekor anak penyu terperangkap di dalam peralalatan pukat tunda yang digunakan. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) menahan empat buah bot nelayan tempatan yang didapati menggunakan pukat jenis pari dan pukat tunda musim tengkujuh ketika menangkap ikan diperairan negeri.
Pengarahnya Ruzaidi Mamat berkata, pengunaan pukat jenis tersebut menjadi ancaman terbesar buat reptilia marin dan menjadi punca kematian penyu akibat lemas terperangkap di dalam pukat.
Menurut beliau kesemua bot itu ditahan ketika Op Penyu yang diadakan selama dua hari bermula Ahad lalu.
Hasil pemeriksaan ke atas kesemua bot itu turut menemukan seekor anak penyu terperangkap di dalam peralalatan pukat tunda yang digunakan.
Selain itu, didapati mereka juga melakukan kesalahan seperti melanggar syarat lesen dan tidak memasang peranti penyisih penyu (TED).
Kesemua bot tersebut dibawa ke Pengkalan Pulau Kambing untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 mengikut Seksyen 11(3)(a) iaitu mengendalikan peralatan tanpa lesen yang sah, 11(3)(b) kerana memiliki peralatan tanpa suatu lesen yang sah dan Seksyen 8(b) iaitu melanggar syarat lesen.
Jabatan Perikanan dan Dana Penyelidikan Marin (MRF) mula memperkenalkan TED yang dianggarkan bernilai antara RM500 hingga RM600 sebuah pada tahun 2011 bagi menyelamatkan penyu yang terperangkap dalam pukat tunda.
Penggunaan TED dilaksanakan selepas kajian awal TED ke atas pukat nelayan pada musim tengkujuh memberi kesan positif.
#pukat pari #pukat tunda #reptilia marin #JPNT
;