JPNT anggaran kerugian RM6 juta akibat banjir di Terengganu
Bernama
Januari 16, 2017 13:39 MYT
Januari 16, 2017 13:39 MYT
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menganggarkan jumlah kerugian akibat banjir yang melanda negeri ini baru-baru ini mencecah RM6 juta.
Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin berkata sebanyak 133 sekolah di lapan daerah di Terengganu mengalami pelbagai kerosakan infrastruktur, perabot, peralatan pembelajaran, buku teks dan pendawaian elektrik.
"Jumlah kerugian ini bagaimanapun menunjukkan penurunan ketara berbanding lebih RM18 juta ketika banjir besar pada akhir tahun 2014.
Ia adalah hasil penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan jabatan untuk meminimumkan jumlah kerugian akibat banjir yang memang melanda Terengganu saban tahun," katanya kepada Bernama hari ini.
Hujan lebat berterusan pada malam 31 Disember lalu menyebabkan banjir besar berlaku di sekitar Hulu Terengganu dan menyebabkan 25 sekolah terpaksa menangguhkan hari pertama sesi persekolahan 2017 pada 1 Januari.
Kebanyakan sekolah yang terjejas berada di Hulu Terengganu, Besut dan Setiu yang dilanda banjir buruk pada tahun ini.
Mengulas lanjut, Shafruddin berkata laporan mengenai anggaran kerugian itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya bagi membolehkan proses baik pulih dilakukan.
"Jabatan juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam gotong royong membersihkan kawasan sekolah yang ditenggelami air kerana usaha murni itu dapat mempercepatkan lagi proses pembelajaran di sekolah yang terjejas.
Begitu juga dengan sumbangan pakaian, kasut dan beg sekolah serta alat tulis yang disumbangkan kepada mangsa banjir kerana ia memang meringankan beban kewangan keluarga yang terlibat," katanya.
Jabatan Pendidikan negeri masih mengalu-alukan sebarang usaha mana-mana pihak untuk menyampaikan sumbangan seumpama itu agar pelajar sekolah yang terjejas akibat bencana itu dapat meneruskan persekolahan mereka seperti biasa, katanya.
-- BERNAMA