JPNS sahkan 90 murid keracunan makanan

Sinar Harian
Julai 23, 2024 02:20 MYT
Kira-kira 90 murid di SK Pulau Gaya keracunan makanan pada Isnin. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengesahkan berlaku kejadian keracunan makanan melibatkan kira-kira 90 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya di sini pada Isnin.
Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin berkata, kejadian itu dikesan sekitar jam 12 tengah hari apabila guru memaklumkan terdapat murid mengalami muntah-muntah dan simptom lain.
"Pihak sekolah melalui guru-guru mendapatkan maklumat lanjut sekiranya terdapat murid lain yang terlibat dalam keracunan makanan.
"Maklumat awal yang diperoleh terdapat lebih daripada 20 murid yang terlibat dalam kes keracunan makanan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Raisin berkata, susulan kejadian itu, pihak sekolah mengumpul maklumat murid yang terlibat dalam kes keracunan makanan ini.
"Pihak sekolah juga turut membawa beberapa murid yang terlibat ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dan terdapat juga murid yang mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) serta Klinik Kesihatan Luyang.
"Pihak sekolah memberhentikan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta-merta bagi sesi petang dan menasihatkan ibu bapa atau penjaga agar membawa anak jagaan masing-masing mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran sekiranya terdapat simptom keracunan makanan," katanya.
Raisin berkata, dari segi tindakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pegawai Unit Hal Ehwal Murid (HEM) menghubungi pihak di SK Pulau Gaya bagi mendapatkan maklumat awal kes.
"Setakat ini, seramai 55 murid berada di HWKKS, 25 murid di HQEI, lapan murid di Klinik Kesihatan Luyang, seorang di Klinik UTC Kota Kinabalu dan dua lagi murid di Jeti Safma Kota Kinabalu.
"Status kesihatan murid pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital. Tidak ada kes tahap kritikal dan 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan manakala 10 peratus lagi dibenarkan balik ke rumah.
"Pihak PPD Kota Kinabalu telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini (Selasa).
"Semalam, pihak PPD Kota Kinabalu telah mengarahkan supaya perkhidmatan kantin dan RMT diberhentikan serta-merta demi keselamatan murid buat sementara waktu," katanya.
Sehubungan itu, Raisin berkata, setakat ini punca keracunan makanan masih dalam siasatan lanjut pihak jabatan kesihatan.
"JPNS memohon semua ibu bapa atau penjaga melaporkan segera jika ada anak jagaan masing-masing mengalami simptom keracunan makanan.
"JPNS juga sentiasa memantau perkembangan kes dari masa ke masa termasuk meninjau operasi rawatan mangsa di HWKKS," katanya. - Sinar Harian
#pelajar #keracunan makanan #SK Pulau Gaya #muntah