JPNS nafi penyahwartaan tanah hutan simpan dilakukan secara tidak sah

Sinar Harian
Julai 10, 2022 04:40 MYT
Ahmad Fadzil berkata, lokasi seluas 406.22 hektar itu merupakan salah satu kawasan terlibat dalam beberapa siri penyahwartaan sejak tahun 1991. - Foto fail
SHAH ALAM : Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menafikan kenyataan dibuat seorang ahli ekologi mendakwa penyahwartaan tanah di Hutan Simpan Bukit Cherakah menerusi satu kenyataan siar warta (G.N.1645-2022), 5 Mei lalu dilaksanakan secara tidak sah.
Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, lokasi seluas 406.22 hektar itu merupakan salah satu kawasan terlibat dalam beberapa siri penyahwartaan sejak tahun 1991, namun atas sebab-sebab tertentu proses penyahwartaan berkenaan terhenti pada tahun 2006.
Menurutnya, kenyataan siar warta yang disiarkan pada 5 Mei membabitkan kawasan berkenaan merupakan siaran 'backdated' untuk melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti pada 2006.
"Penyahwartaan kawasan hutan ini didakwa tidak melalui proses perbicaraan awam selaras dengan Seksyen 11, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (EAPN) yang dipinda oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2011.
"Bagaimanapun, penyahwartaan ini tidak melalui proses perbicaraan awam kerana kelulusan penyahwartaan berlaku sebelum pindaan Seksyen 11 EAPN Selangor (Pindaan 2011) dan kawasan seluas 406.22 hektar ini tidak lagi direkodkan dalam hutan simpanan kekal sejak 2006," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Media tempatan pada 5 Julai melaporkan tanah Hutan Simpan Bukit Cherakah seluas 400 hektar telah dinyahwartakan oleh kerajaan negeri Selangor untuk memberi laluan kepada pembangunan.
Ahli Ekologi, Tekcwyn Lim dilaporkan berkata, tindakan penyahwartaan tersebut dilaksanakan secara tidak sah kerana tiada proses perbicaraan awam dijalankan seperti yang termaktub dalam akta berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadzil berkata, proses penyahwartaan tanah seluas 406.22 hektar itu tergendala pada 2006 atas pelbagai faktor menyebabkan ianya terhenti di peringkat pengeluaran pelan warta sahaja.
"Secara umumnya, proses penyahwartaan ini adalah bagi melengkapkan proses yang tergantung pada tahun 2006 dan kerajaan negeri Selangor telah mengambil langkah sewajarnya bagi menyelesaikan perkara yang tertangguh sejak lebih 20 tahun yang lalu," katanya.
Beliau berkata, kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah kekal dengan keluasan 1,298.86 hektar manakala Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan seluas 982.80 hektar.
"Kedua-dua hutan ini masih diuruskan oleh JPNS sebagai kelas hutan perlindungan yang menjadi habitat kepada pelbagai flora dan fauna.
"Kawasan hutan ini turut dijadikan sebagai Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang merupakan antara taman rekreasi awam utama bagi penduduk setempat," ujarnya.
Artikel asal di Sinar Harian.
#bukit cherakah #penyahwartaan #Jabatan Perhutanan #tidak sah
;