JPNJ diarah pantau aktiviti ceramah di sekolah

Bernama
Disember 18, 2023 16:04 MYT
Norlizah berkata, satu sesi libat urus membabitkan pegawai penyelaras di sektor pengurusan dan pembangunan murid akan turut diadakan bagi membincangkan isu itu. - Foto Web DUN Johor
JOHOR BAHRU: Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) diarahkan supaya memantau aktiviti ceramah di sekolah-sekolah di negeri ini.
Hal itu susulan tular video melibatkan seorang pempengaruh media sosial yang memberikan ceramah di sekolah.
Video itu turut memaparkan aksi pelajar sekolah yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh berkata satu sesi libat urus membabitkan pegawai penyelaras di sektor pengurusan dan pembangunan murid akan turut diadakan bagi membincangkan isu itu.
"Saya sudah ambil maklum akan perkara ini. Saya telah meminta JPNJ memantau aktiviti ceramah di sekolah-sekolah.
"Esok akan diadakan diadakan sesi libat urus pegawai penyelaras di sektor pengurusan murid dan sektor pembangunan murid yang membabitkan 11 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Johor," katanya dalam hantaran di aplikasi X, di sini, hari ini.
Norlizah berkata demikian sebagai maklum balas kepada seorang pengguna platform X 'Hidup Berbakti', yang memohon JPNJ menyekat penceramah tersebut, yang didakwa telahpun pergi ke beberapa sekolah di negeri ini.
Dalam video berdurasi 15 saat itu, seorang pelajar perempuan datang kepada pelajar lelaki dengan berjalan seperti model atau 'catwalk' untuk memberikan 'flying kiss'.
-- BERNAMA
#Jabatan Pendidikan Negeri Johor #pantau ceramah #pelajar sekolah #pempengaruh media sosial #Norlizah Noh
;