SHAH ALAM: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil maklum mengenai isu melibatkan penjualan pangkalan data mengandungi empat juta maklumat peribadi rakyat Malaysia di forum pasaran pangkalan data terkenal pada Selasa.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai perkara tersebut, namun enggan memberi sebarang komen.

“Memang ada laporan yang dihantar berkenaan (isu) itu tetapi saya tidak akan komen apa-apa buat masa ini.

“Nanti pihak kita akan maklumkan kemudian,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Selasa, dilaporkan pangkalan data dipercayai milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah dijual di forum pasaran pangkalan data yang terkenal.

Pangkalan data JPN itu disertakan dengan tanda harga 0.2 BTC bersamaan dengan harga sekitar RM35,495.

Pengguna Twitter yang dikenali sebagai Adnan Mohd Shukor berkata, pangkalan data tersebut mengandungi maklumat penting seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat surat-menyurat dan alamat tetap, nombor telefon bimbit serta alamat e-mel.

ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: JPN terima laporan penjualan 4 juta data rakyat Malaysia